KANGAR: Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan mengambil tindakan pengusiran di penempatan setinggan Bukit Lagi di sini yang diduduki secara tidak sah sejak 30 tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, notis pengosongan tanah tersebut akan dikeluarkan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara.
Katanya, menerusi semakan, terdapat sekitar lima hingga tujuh buah rumah diduduki secara tidak sah di kawasan itu yang telah diwartakan sebagai tanah milik kerajaan negeri.
“Tindakan pengusiran dan penandaan kawasan berkenaan akan dilaksanakan di atas semua kawasan tanah yang diceroboh secara haram itu.
“Difahamkan, penempatan itu telah diduduki melebihi 30 tahun dan tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Perlis Go Clean: Walk And Plog For Change 2025 di Taman Rekreasi Bukit Lagi, di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri juga meneliti pampasan buat pihak terlibat berdasarkan sejarah pemilikan tanah dan status pendudukannya.
Kata beliau, sekiranya tiada hak atau pampasan pernah diberikan sebelum ini, maka kebarangkalian untuk mendapat bayaran tersebut adalah tipis.
“Sekiranya individu terlibat bukan pemilik tanah atau hanya mendiami, atau menyewakan kawasan tersebut, maka mereka tidak layak untuk sebarang pampasan,” katanya.-UTUSAN










