Stockholm berdepan Disember paling gelap sejak 1934

Stockholm berdepan Disember paling gelap sejak 1934

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Ibu negara Sweden, Stockholm, merekodkan hanya setengah jam cahaya matahari sepanjang separuh pertama bulan ini, sekali gus berpotensi mencatatkan Disember paling gelap sejak 1934 jika keadaan berterusan, menurut pakar meteorologi.

Sweden, seperti negara Nordik lain, sememangnya mengalami musim sejuk panjang dengan siang pendek dan malam panjang.

Namun Disember ini, cuaca di Stockholm lebih suram dan mendung, kata Viktor Bergman dari Institut Meteorologi dan Hidrologi Sweden (SMHI).

“Setakat ini, hanya ada setengah jam cahaya matahari. Sistem tekanan rendah yang tidak stabil dengan cuaca lembab dan sederhana menyebabkan langit sentiasa mendung.

“Cahaya matahari juga lemah dan sinarnya tidak mampu menembusi awan,” jelasnya.

Menurut data dari 1991 hingga 2020, purata jumlah cahaya matahari di Stockholm bagi keseluruhan bulan Disember adalah sekitar 33 jam, tambahnya.

Beliau berkata, matahari mungkin muncul dalam beberapa hari akan datang, ‘tetapi agak tidak menentu’.

Disember paling gelap yang pernah direkodkan di ibu negara Sweden ialah pada 1934, apabila jumlah cahaya matahari begitu minima sehingga ‘dibundarkan kepada sifar jam’, kata Bergman.

Beberapa kawasan lain di Sweden lebih bernasib baik bulan ini, dengan bandar Karlskrona di tenggara mencatat jumlah cahaya matahari paling banyak setakat ini, iaitu 12 jam.

Stockholm juga tidak mengalami salji sebenar pada musim sejuk ini, menyumbang kepada kesan suram kerana pantulan cahaya dari salji biasanya membantu mencerahkan persekitaran.

Keadaan itu dijangka tidak berubah, ramal Bergman, sekali gus memadamkan harapan penduduk Stockholm untuk Krismas bersalji.

“Keadaan nampak sangat suram untuk Krismas,” katanya.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN