KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh sensasi, Kasih Oris Leona menafikan status keluarganya yang dari golongan berada menjadi asbab kepada penganugerahan Queens Guide and Kings Scout yang diterimanya baru-baru ini.
Jelas Leona, perkara itu tidak boleh dibeli melalui status keluarga, sebaliknya menuntut kerja keras dan disiplin yang tinggi.
“Kononnya ada orang muat naik gambar saya menerima Queen’s Guide dan King’s Scout, kemudian ramai pula kata ini semua sebab nepotisme.
“Kalau nepotisme boleh bina seluruh tapak perkhemahan seorang diri, maka ya, mungkin betul. Kalau nepotisme boleh tulis tangan 13 buku log untuk kepanduan, maka ya, saya setuju,” katanya dalam TikTok.
Leona dalam masa yang sama menepis dakwaan kononnya ibunya memegang jawatan penting dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia sehingga memberinya kelebihan dalam penilaian.
“Ada yang kata ibu saya ialah Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia. Tidak. Ibu saya langsung tiada jawatan dalam organisasi itu sama ada di Malaysia atau peringkat dunia.
“Malah ketika saya dan kakak menjalani ujian, ibu saya sendiri tidak dibenarkan menjadi penguji kerana anaknya terlibat dalam penilaian tersebut,” jelasnya.
Mengimbas cabaran dilalui, Leona mendedahkan pengalaman getir sepanjang menjalani penarafan King’s Scout, termasuk terpaksa bekerja keras tanpa sebarang keistimewaan.
“Sedangkan peserta lain sudah mempunyai buluh siap dipotong, kami berlima perlu mengukur dan memotong semuanya sendiri sebelum membina tapak perkhemahan,” kongsinya.










