Ketegangan politik, isu visa jejas persiapan Iran

Ketegangan politik, isu visa jejas persiapan Iran

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei (kanan) bercakap pada sidang media dan di sebelahnya penyerang, Mehi Taremi menjelang pertemuan menentang New Zealand dalam kempen Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei mengakui ketegangan politik serta masalah visa yang melanda pasukannya telah menjejaskan persiapan menjelang kempen Piala Dunia, namun menegaskan para pemainnya kekal fokus untuk memberikan persembahan terbaik.

Iran tiba di kejohanan itu ketika hubungan diplomatik antara negara tersebut dan Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan tegang, termasuk tindakan pihak berkuasa AS yang dilaporkan tidak mengeluarkan visa kepada beberapa anggota kakitangan sokongan pasukan.

Skuad Iran dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles, hari ini.

Menurut Ghalenoei, segala isu di luar padang tidak akan mengganggu tumpuan pasukannya yang hadir ke kejohanan itu bagi mewakili rakyat Iran di dalam dan luar negara.

“Kami berada di sini untuk mempamerkan aksi berkualiti dan memberikan yang terbaik. Kami tidak memberi perhatian kepada segala perkara yang berlaku di luar pasukan.

“Dalam setiap negara ada cabaran tersendiri dan banyak perkara yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar.

Ghalenoei turut menegaskan bahawa bola sepak tidak seharusnya dicampuradukkan dengan politik.

“Kami bukan ahli politik. Kami datang untuk mewakili rakyat Iran dan bermain bola sepak,” katanya.

Sementara itu, penyerang utama Iran, Mehdi Taremi berkata, suasana tegang yang menyelubungi kejohanan berkenaan menjejaskan semangat serta mesej perpaduan yang sering dikaitkan dengan bola sepak.

“Bola sepak sepatutnya menjadi platform yang membawa keamanan dan kegembiraan kepada semua orang namun, ketegangan yang wujud sedikit sebanyak menjejaskan pengalaman tersebut,” kata Taremi.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran terpaksa menukar lokasi kem latihan pada saat akhir apabila perancangan asal untuk berlatih di AS dibatalkan sebelum pasukan itu berpindah ke Tijuana, Mexico.

Ghalenoei mengakui perubahan tersebut memberi kesan terhadap proses penyesuaian pemain, namun percaya anak buahnya mempunyai semangat tinggi untuk mengatasi segala kesukaran.

“Kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri selepas kem latihan ditukar sebanyak dua kali.

“Bagaimanapun, pemain-pemain saya sangat bersemangat dan bertekad untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Pada masa sama, beberapa kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan Iran dilaporkan berkumpul di luar pusat latihan pasukan di Carson, berhampiran Los Angeles.

Mereka mendakwa skuad kebangsaan itu tidak mewakili suara sebenar rakyat Iran dan merancang mengadakan demonstrasi lebih besar ketika perlawanan berlangsung.

Iran yang belum pernah melepasi peringkat kumpulan dalam sejarah penyertaan Piala Dunia turut diundi bersama Belgium dan Mesir dalam Kumpulan G. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN