Seorang maut, 5 cedera kemalangan dua kenderaan di Jalan Silam

Seorang maut, lima cedera kemalangan dua kenderaan di Jalan Silam

ANGGOTA bomba membantu mengangkat mangsa yang terlibat dalam kemalangan untuk di bawa ke Hospital Lahad Datu. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala lima individu lain cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Silam, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Silam, di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Fortuner dan sebuah Perodua Axia yang dipercayai bertembung.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.29 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari BBP Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 24 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 2.52 petang dan mendapati enam mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Lima mangsa berada di dalam kenderaan Toyota Fortuner dan seorang daripada mereka didapati tersepit, namun berjaya dikeluarkan oleh anggota menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumsoa berkata, mangsa wanita berusia 50 tahun yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa berkenaan menaiki Toyota Fortuner bersama empat lagi individu. Tiga mangsa perempuan masing-masing berusia 39, 28 dan 30 tahun serta seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pemandu kenderaan itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa cedera ringan telah dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Katanta, operasi menyelamat turut dibantu oleh dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pegawai KKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN