JAKARTA: Ramalan hujan pada Khamis mencetuskan kebimbangan berlakunya lebih banyak kerosakan di Indonesia dan Sri Lanka yang dilanda banjir, selepas bencana sebelum ini meragut lebih 1,500 nyawa di empat negara.
Di Indonesia, agensi cuaca memberi amaran tiga wilayah paling teruk terjejas di pulau Sumatera dijangka mengalami hujan sederhana hingga lebat antara Khamis dan Jumaat.
Hujan mula turun sejak malam tadi dan walaupun tidak seteruk minggu lalu, ia tetap menambah kegusaran penduduk di kawasan yang masih trauma akibat banjir kilat dan tanah runtuh.
“Kami takut jika hujan turun secara tiba-tiba, banjir akan datang lagi,” kata Sabandi, 54, kepada AFP di sebuah pusat perlindungan di Pandan, Sumatera Utara.
Angka korban di Indonesia setakat 4 Disember kekal pada 776 orang, sedikit menurun berbanding hari sebelumnya apabila maklumat baharu diterima dari kawasan terpencil yang sukar diakses.
Lebih 560 orang masih hilang, dengan komunikasi dan bekalan elektrik yang terputus menyukarkan usaha mengesahkan keberadaan mereka.
Menurut seorang mangsa, Sabandi, dia terperangkap di atas bumbung rumah selama dua hari tanpa makanan atau air sebelum dapat dipindahkan.
“Rumah saya dipenuhi lumpur,” katanya, sambil memberitahu lumpur terlalu tinggi sehingga tidak dapat masuk ke dalam rumah.
Monsun bermusim membawa hujan yang menjadi sumber penting bagi petani di seluruh Asia, tetapi perubahan iklim menjadikan fenomena itu semakin tidak menentu, sukar diramal dan berbahaya.
Dua sistem cuaca berasingan membanjiri seluruh Sri Lanka, Sumatra, sebahagian selatan Thailand dan utara Malaysia minggu lalu.
Skala bencana itu menjadikan usaha bantuan mencabar.
Di Sri Lanka, peramal cuaca berkata monsun timur laut dijangka tiba pada petang 4 Disember.
Amaran tanah runtuh diperbaharui untuk beberapa kawasan paling teruk terjejas di Kandy tengah, dan penduduk dinasihatkan tidak pulang ke rumah kerana lereng boleh runtuh jika hujan berterusan.
Namun, beberapa penduduk tetap mencari mangsa hilang pada Khamis di kampung Hadabima, di mana 18 mayat dikeluarkan daripada enam rumah yang musnah akibat tanah runtuh, kata seorang mangsa, VK Muthukrishnan, kepada AFP.










