PETALING JAYA: Enam ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat baru-baru ini boleh menyertai parti lain tanpa bimbang kedudukan mereka sebagai ahli Dewan Rakyat terjejas.
Saintis politik dari Universiti Sunway, Prof. Dr. Wong Chin Huat berkata, semua wakil rakyat yang dipecat boleh menyertai parti baru tanpa kehilangan kerusi mereka.
Beliau berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya menggantung keahlian semua pemimpin itu seperti apa yang dihadapi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini.
“Pada saat ini, Hamzah harus menyeru wakil rakyat Bersatu yang lain untuk terus mencabar Muhyiddin supaya mereka juga akan dibebaskan dengan pemecatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain dari Hamzah dan Wan Ahmad Faysal, Bersatu turut memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Azahari Hassan (Padang Rengas).
Kesemua mereka boleh menyertai atau menubuhkan parti lain kerana Artikel 49(A) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa seorang ahli Parlimen kehilangan kerusi mereka semata-mata kerana dipecat dari parti mereka.
Hamzah sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai langkah politiknya seterusnya, pemimpin itu dijangka akan menubuhkan ‘rumah baharu’ dengan mengambil alih parti politik kecil.
Dalam pada itu, Chin Huat berpandangan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi lumpuh apabila Hamzah bersama pemimpin-pemimpin Bersatu lain bertindak menyertai atau menubuhkan parti baharu.
“PN akan menjadi lumpuh kerana Muhyiddin tidak akan setuju untuk parti baru Hamzah masuk PN, Pas juga tidak dapat halau Bersatu keluar dari PN. Ini kerana gabungan politik di Malaysia tidak memikirkan kemungkinan ‘penceraian’ maka tiada perjanjian pra-pernikahan
“Di bawah Akta Anti Lompat Parti, kalau mana satu parti keluar PN, wakil rakyatnya yang menang atas tiket PN akan hilang kerusi. Sungguhpun kedua-dua, Pas dan Bersatu boleh membebaskan diri kalau mereka bersetuju membubarkan PN tetapi mereka mungkin akan mengekalkan PN kerana deadlock (kebuntuan),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kemungkinan paling besar yang akan terjadi adalah Pas akan menggoda UMNO untuk memulihkan Muafakat Nasional (PN) apabila kehilangan momentum untuk merebut Putrajaya.
Katanya, besar kemungkinan juga MN itu akan disertai oleh pasukan Hamzah sebagai parti ketiga.
“Sungguhpun Pas menpunyai lebih banyak kerusi daripada UMNO, Pas akan melamar kepada UMNO dengan lebih banyak kerusi untuk UMNO bertanding dan janji menyokong UMNO untuk jawatan Perdana Menteri.
“Kalau ini jadi, parti baru Hamzah tidak akan dapat bertanding semua kerusi asal Bersatu. Jika UMNO tidak terima, Pas dan Parti Hamzah akan buat gabungan baru dan tinggalkan Bersatu dalam pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya. – UTUSAN










