NEW DELHI: Polis India mengesahkan seorang daripada dua penyerang dalam insiden tembakan beramai-ramai di Bondi Beach, Australia, adalah warganegara India yang meninggalkan negara itu sejak 27 tahun lalu.
Polis negeri Telangana memaklumkan suspek, Sajid Akram, berasal dari Hyderabad dan berhijrah ke Australia pada November 1998 untuk mencari pekerjaan.
Akram dan anak lelakinya, Naveed, yang menurut rekod imigresen disenaraikan sebagai warganegara Australia, didakwa melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang meraikan perayaan Hanukkah pada Ahad, mengorbankan 15 nyawa.
Menurut polis, Akram mempunyai hubungan yang sangat terhad dengan keluarganya di Hyderabad sepanjang tempoh 27 tahun berada di luar negara.
Menurut polis, Akram mengunjungi India sebanyak enam kali selepas berhijrah ke Australia, kebanyakannya berkaitan urusan keluarga seperti hartanah dan menziarahi ibu bapa yang sudah berusia.
Bagaimanapun, dia tidak pulang ke India walaupun ketika kematian bapanya.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, bapa dan anak itu yang melaksanakan satu serangan beramai-ramai paling dahsyat di negara itu didorong oleh ‘ideologi Negara Islam (IS)’.
Pihak berkuasa berkata, serangan itu bertujuan menimbulkan panik dalam kalangan komuniti Yahudi di Australia.
Polis Telangana menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang rekod buruk terhadap Akram semasa dia berada di India sebelum berhijrah.
“Keluarganya menyatakan tiada pengetahuan tentang pemikiran radikal atau aktiviti beliau, mahupun mengenai faktor yang membawa kepada radikalisasinya,” menurut kenyataan polis itu.
“Kedua-dua faktor yang membawa kepada radikalisasi Sajid Akram dan anaknya, Naveed, dilihat tiada kaitan dengan India atau sebarang pengaruh tempatan di Telangana,” tambah kenyataan itu.- AFP










