Pegawai kanan polis maut, motosikal bertembung lori

Pegawai kanan polis maut, motosikal bertembung lori

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Motosikal ditunggang seorang pegawai kanan polis bertembung dengan sebuah lori di Jalan Batang Kali-Genting semalam, menyebabkan mangsa maut di lokasi.

Mangsa, Superintenden Yuslimezam Hashim yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang.

Menurutnya, mangsa berusia 51 tahun itu menunggang motosikal seorang diri dari Alor Setar, Kedah menuju ke IPK Pahang.

“Apabila sampai di Jalan Batang Kali menghala ke Genting, mangsa mengambil selekoh ke kiri dan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 50 tahun.

“Mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala pemandu lori cedera ringan di muka dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Asri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mt. Abu@Ramli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Semalam, Polis Kontinjen Pahang memaklumkan, Allahyarham meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran sebuah tapak perkhemahan di lokasi kejadian. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN