KOTA BHARU: Lebih 7,400 petani di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan menanggung sendiri kerugian sekiranya gagal mengikut jadual tanaman padi yang dikeluarkan oleh agensi berkenaan.
Pengurus Besarnya, Mohd. Faizul Mustafa berkata, langkah lebih tegas itu diambil selaras arahan kementerian memandangkan KADA kini mampu menjamin bekalan air kepada kawasan sawah sehingga kira-kira 95 peratus.
Katanya, pesawah yang menanam di luar jadual tidak akan dimasukkan dalam laporan tanaman rasmi agensi itu sekali gus menyebabkan mereka tidak layak menerima insentif dan perlindungan skim takaful.
“Kalau dia terkeluar daripada laporan tanaman padi kita, dia banyak kerugian. Dia tidak akan dapat insentif dan skim takaful pun tidak akan dapat.
“Kerugian yang berlaku perlu ditanggung sendiri kerana skim takaful hanya melindungi petani yang mengikut jadual dan berada di bawah laporan rasmi KADA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat Sempena Permulaan Penanaman Padi Musim 1/2026 di Perkarangan Stesen Pam Kemubu di sini hari ini.
Mohd. Faizul memberitahu, langkah lebih tegas itu diambil selaras arahan kementerian memandangkan KADA kini mampu menjamin bekalan air kepada kawasan sawah sehingga kira-kira 95 peratus.
Katanya, jadual tersebut dirangka berdasarkan faktor cuaca, rekod penanaman terdahulu serta penelitian jawatankuasa khas yang dibentuk KADA.
“Penanaman untuk musim 1/2026 bermula pada awal Jun dan dijadualkan selesai pada penghujung Oktober, manakala penuaian dijangka berakhir selewat-lewatnya pada minggu kedua atau ketiga November.
“Kalau semua mengikut jadual, insya-Allah kita dapat menuai sebelum banjir. Kecuali jika berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti banjir datang lebih awal,” ujarnya.
Mohd. Faizul berkata, KADA menyasarkan kira-kira 95 peratus daripada lebih 24,500 hektar kawasan sawah dapat diusahakan pada musim ini dengan pengeluaran dianggarkan mencecah 200,000 tan padi.
Katanya, sasaran itu bergantung kepada keadaan cuaca serta keupayaan sistem pam pengairan beroperasi tanpa gangguan.
“Kita mengharapkan cuaca yang baik dan pam dapat beroperasi sepenuhnya supaya bekalan air dapat disalurkan kepada petani,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian masih boleh menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM850,000 bagi membantu pelaksanaan program berkaitan sektor pertanian di bawah KADA.-UTUSAN










