Pemuda Pas Perlis beri amaran pihak gugat kestabilan kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Pemuda Pas Perlis beri amaran pihak gugat kestabilan kerajaan negeri

Haziq Asyraf Dun.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda Pas negeri memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Sayap parti itu juga tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mencetuskan ketidaktentuan politik dan mengancam kestabilan kerajaan negeri.

Ketuanya, Haziq Asyraf Dun berkata, pihaknya akan terus komited mempertahankan kestabilan
kerajaan negeri demi memastikan agenda kebajikan rakyat, pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Dewan Pemuda Pas negeri sedia maklum berhubung isu yang sedang berlegar di media sosial sejak kebelakangan ini. Sehubungan itu, Pemuda Pas Perlis menegaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan menjaga kestabilan kerajaan negeri.

“Sebarang cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan ini bukan sahaja merugikan rakyat, malah hanya menguntungkan pihak musuh yang sentiasa menunggu peluang.

“Kita memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri demi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu,” katanya di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikanan Nasional (PN) Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan akuan berkanun (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Mereka yang menyerahkan SD itu didakwa lima ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga dari Pas.

Bersatu juga difahamkan telah mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar manakala nama calon dari Pas masih belum.

Haziq yang juga ADUN Beseri berkata, rakyat negeri ini telah memberikan mandat yang jelas kepada PN untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Oleh itu, keutamaan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri hendaklah sentiasa didahulukan berbanding kepentingan peribadi atau kelompok tertentu yang boleh membawa mudarat kepada kestabilan politik dan pentadbiran negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN