Pas cadang peruntukan Ahli Parlimen kerajaan dimansuhkan

Pas cadang peruntukan Ahli Parlimen kerajaan dimansuhkan

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mencadangkan supaya peruntukan untuk ahli Parlimen kerajaan berjumlah RM3.5 juta setahun dimansuhkan sebagai langkah penjimatan untuk negara susulan konflik di Asia Barat.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, peruntukan itu perlu dimansuhkan segera kerana jumlahnya yang besar dan lebih memberi kesan kepada perbelanjaan negara berbanding elaun petrol yang berjumlah RM1,500.

Kata beliau, elaun petrol hanya melibatkan ahli Parlimen biasa dan ahli Kabinet tidak terlibat dalam pemberian insentif itu.

“Jadi di mana isu prinsipnya? Adakah benar peruntukan RM3.5 juta itu jika dimansuhkan akan menjejaskan rakyat di akar umbi?

“Jika demikian, adakah itu bermaksud rakyat di parlimen yang diwakili pembangkang sudah terjejas selama tiga tahun dari tahun 2023 hingga 2025? Bukankah itu lebih zalim dan kejam?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan sering menyatakan bahawa walaupun peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan tetapi rakyat tetap dibela.

“Maka sekarang, belalah rakyat menggunakan kaedah yang sama. Yang penting, RM3.5 juta untuk satu parlimen berjaya dijimatkan.

“Setelah penjimatan besar RM3.5 juta setahun untuk satu parlimen ini dijimatkan, barulah kita beralih kepada penjimatan kecil. Contohnya RM1,500.00 elaun petrol. Saya setuju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×