Pas mahu pertahan DUN Maharani, rampas DUN Simpang Jeram

Pas mahu pertahan DUN Maharani, rampas DUN Simpang Jeram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor bertekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, selain merampas kerusi DUN Simpang Jeram daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, DUN Simpang Jeram merupakan sebahagian kesinambungan kawasan lama Sungai Abong yang pernah dimenangi Pas sebelum persempadanan semula dilaksanakan.

“Kemenangan itu bukan sahaja mencerminkan sokongan rakyat, malah menjadi asas kepada pembangunan serta pengukuhan pengaruh Pas di kawasan ini.

“Dalam sistem demokrasi, mana-mana parti politik berhak memilih kerusi yang ingin ditandingi dan dimenangi. Begitulah juga Pas melalui Perikatan Nasional (PN).

“Sasaran Pas pada PRN Johor bukan sahaja mempertahan DUN Maharani malah memastikan kemenangan di DUN Simpang Jeram,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Amanah Johor nekad merampas kerusi DUN Maharani daripada Pas pada PRN yang dijangka dalam tahun ini.

Tambah Mohd. Firdaus usaha memenangi semula DUN Simpang Jeram bukan sekadar strategi politik tetapi merupakan komitmen untuk mengembalikan mandat rakyat yang pernah diberikan kepada Pas.

“Ini bukan retorik politik, sebaliknya gerak kerja yang sedang dan akan terus diperkukuh melalui kekuatan jentera, kesepaduan gabungan serta keyakinan rakyat yang semakin matang dalam membuat penilaian.

“Pas Johor kekal fokus, terus bekerja dan melangkah ke hadapan bagi memenangkan PN. Maharani kita pertahankan, Simpang Jeram kita menangkan,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×