KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dibenarkan keluar dari hospital di ibu negara selepas menerima rawatan dan menjalani pemeriksaan lanjut susulan mengadu sakit dada sebelum itu.
Mohd. Shukri dalam kemas kini status di Facebooknya hari ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau sepanjang menerima rawatan tersebut.
“Alhamdulillah, saya selamat dibenarkan keluar hospital petang tadi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya. Mudah-mudahan kita semua dikurniakan kerahmatan oleh Allah SWT ,” katanya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Shukri dikejarkan ke sebuah hospital di ibu negara bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut selepas kembali daripada urusan luar negara.
Mohd. Shukri mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital itu selepas mengadu sakit dada dan kini
berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Pas dijangka mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan kemelut kepemimpinan Menteri Besar Perlis yang didakwa hilang sokongan majoriti mudah selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) mengemukakan akuan berkanun (SD) yang menarik sokongan terhadap terhadap Mohd. Shukri.
Bagaimanapun, Pengerusi PN negeri merangkap Timbalan Pesuruhjaya Pas III Perlis, Datuk Shahidan Kassim menegaskan tidak wujud sebarang gerakan terancang dalam PN berhubung kemelut berkenaan
“Dalam hal ini, saya tidak nampak wujud satu pakatan tertentu dibuat dan memang saya rasakan tidak ada gerakan ini dilakukan. Namun berkemungkinan, mereka ini dipanggil secara individu dan apa yang bakal berlaku selepas ini terserah kepada keputusan parti.
“Namun, itu kita serahkan kepada Pas Pusat untuk membuat sebarang keputusan dalam hal ini yang mana nama daripada kedua-dua parti akan diangkat kepada Tuanku Raja Perlis dalam penentuan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Dana Pendidikan Yayasan Fawwaz di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau Kubang Gajah di sini hari ini.-UTUSAN










