KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamun dua kedai runcit di daerah ini pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 44, yang bertugas di unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan samun terhadap seorang lelaki warga Pakistan dengan mengambil wang sebanyak RM400 semasa berada di Kedai Runcit Bayam Jaya Enterprise, Kampung Beris Jambu, Pengkalan Chepa dekat sini kira-kira pukul 6.20 petang pada 8 November lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap seorang lelaki berusia 48 tahun semasa berada di sebuah kedai runcit, MKR Maju Jaya Trading di Jalan Rambutan Rendang, Kampung Chempaka di sini kira-kira pukul 4.40 petang pada 10 November lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha’ ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Ahmad Adha’ ‘Amir kemudian memohon satu jaminan diberikan kepada anak guamnya yang berjanji akan memberi kerjasama penuh sepanjang prosiding perbicaraan.
“Jaminan dimohon agar tertuduh dapat kembali semula kepada keluarga kerana isterinya merupakan penghidap kanser ovari tahap tiga, diabetes, asma dan masalah mata.
“Tertuduh juga mempunyai penyakit darah tinggi dan memaklumkan bahawa bekalan ubatnya sudah habis semasa tahanan reman. Tertuduh juga sepatutnya menghadiri janji temu dengan doktor pada minggu ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM18,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri dua bulan sekali di balai polis terdekat.
Dalam prosiding berasingan, Mohd. Irfan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghisap dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberikan kepada dirinya dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu di sini kira-kira pukul 3 pagi pada 19 November lalu.
Anggota polis itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B seksyen tersebut yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili dua peguam sama.
Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 untuk pertuduhan itu dan ketiga-tiga kes tersebut disebut semula pada 7 Januari 2026.
Tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM22,000 yang ditetapkan mahkamah untuk ketiga-tiga pertuduhan itu.
Utusan Malaysia 19 November lalu melaporkan, seorang anggota polis yang digantung tugas setelah terlibat dengan penyalahgunaan dadah dicekup malam tadi selepas menyamun sebuah sebuah butik barangan terpakai menggunakan senjata api tiruan pada 10 November lalu.-UTUSAN










