Karya Unimap diiktiraf, menang Anugerah Buku Terbaik - Utusan Malaysia

Karya Unimap diiktiraf, menang Anugerah Buku Terbaik

UNIMAP menerima Anugerah Buku Negara 2024–2025 menerusi penghasilan buku Engineering Materials for Technologists semasa Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2024–2025 bagi Kategori Pendidikan & Akademik: Buku Sains dan Teknologi Terbaik.

Unimap menerima penganugerahan itu semasa Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 di Setia City Convention Center 2, Shah Alam, Selangor, menerusi penerbitan buku berjudul Engineering Materials for Technologists dihasilkan oleh kumpulan akademik institusi pengajian itu bersama rakan kolaborasi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Unimap, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pemilihan bagi penganugerahan itu dibuat berdasarkan penilaian teliti oleh panel profesional yang memberi penekanan tentang kualiti penyelidikan, ketepatan kandungan dan nilai akademik tinggi buku tersebut dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu kejuruteraan serta teknologi.

“Buku terbitan Unimap ini disifatkan panel penilai sebagai karya ilmiah berimpak tinggi yang bukan sahaja relevan untuk pengajaran dan pembelajaran di universiti, tetapi juga mampu menjadi rujukan utama industri serta penyelidikan masa depan dalam bidang sains bahan dan kejuruteraan,” katanya di sini semalam.

Sebagai rekod, buku Engineering Materials for Technologists merupakan hasil kolaborasi penyelidikan antara tenaga akademik Unimap dan institusi rakan strategik di mana Mustafa merupakan penulis utama bersama Dr Nor Bahiya Baba dari Kolej Universiti TATI (TATIUC).

Turut menyumbang penulisan dalam buku itu adalah Dr. Mohd Najib Muhamed, Dr. Faizul Che PA, Dr. Rabiatul Manisah Mohamed dan Dr. Muhammad Faheem Mohd Tahir.

Mohd Mustafa berkata, beliau dan rakan-rakan penulis menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati atas pengiktirafan yang diterima itu sebagai sumber inspirasi kepada penyelidik muda lain.

“Pengiktirafan ini juga memberi inspirasi kepada kami untuk terus memperbanyakkan karya ilmiah yang dapat memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×