PETALING JAYA: Kisah seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), R. Sathis, 24, boleh dijadikan inspirasi bagaimana ketabahan seorang anak yang berjuang memperbaiki nasib keluarga melalui pendidikan dan perniagaan kecil.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Pengguna itu berkata, usahanya bermula ketika dia di tingkatan enam pada tahun 2020 selepas keluarganya berdepan masalah kewangan sehingga dia mencari jalan untuk menambah pendapatan.
“Selepas ayah meninggal dunia pada usia saya lapan tahun, ibu mengambil alih tanggungjawab ketua keluarga untuk menyara kehidupan dan persekolahan saya dan abang yang berusia 10 tahun ketika itu.
“Ketika saya di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kepong, saya mula berniaga nasi beriani untuk membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 di Serdang, semalam.
Katanya, seorang guru tingkatan enam menjadi individu pertama yang membantunya membeli bahan mentah untuk membolehkan dia memulakan perniagaan nasi beriani dari rumah. Pada tahun berikutnya, Sathis menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UPM.
“Saya sedar hanya saya yang mampu menyokong ibu berusia 62 tahun dan tinggal bersamanya di PPR Intan Baiduri. Saya tekad memulakan perniagaan nasi beriani setiap minggu, mengambil pesanan sebelum menghantar ke kawasan sekitar UPM hingga ke ibu negara,” katanya.
Setiap pesanan disiapkan sendiri dengan ibunya membantu menyediakan bahan masakan.
“Memang ada hari saya hampir putus asa kerana terlalu letih dan tertekan dengan kelas serta peperiksaan, tetapi saya sentiasa ingat tanggungjawab terhadap keluarga dan masa depan yang saya ingin ubah,” katanya.
Pada semester ketiga, Sathis terpilih sebagai penerima Maybank Scholar 2022, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan memberikan ruang untuknya lebih fokus dalam pengajian.
“Saya harap kisah ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain agar tidak mudah menyerah dan percaya kerja keras dan bakat mampu mengubah kehidupan,” katanya.-UTUSAN.










