Cuti sekolah hidupkan semula pekan Lumut

Cuti sekolah hidupkan semula pekan Lumut

PELANCONG menuju ke jeti di Lumut bagi menaiki feri ke Pulau Pangkor ketika tinjauan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pekan Lumut yang biasanya sunyi kini meriah de­ngan kehadiran pelancong sempena cuti persekolahan.

Keadaan itu menggembirakan peniaga yang sekali gus membuka peluang untuk mereka menambah pendapatan berbanding pada hari biasa.

Peniaga ikan bilis, Mohd. Nazir Kutamin, 32, berkata, musim cuti sekolah merupakan saat untuk melihat pekan Lumut kembali dipenuhi pelancong berbanding hari biasa di mana pekan itu begitu sunyi tanpa kehadiran orang luar.

Menurutnya, kehadiran pe­lancong memberikan suntikan semangat kepada peniaga di pekan Lumut dan mengharapkan jualan mereka meningkat.

“Apabila cuti sekolah, pekan Lumut ramai pelancong dan ini secara tidak langsung membantu menghidupkan semula pekan ini.

“Lumut memang terkenal dengan ikan bilis mata biru, apabila ramai yang membeli, ini dapat membantu menghidupkan industri ikan bilis ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pekerja kedai makan, Halimah Abdullah Baharuddin Abas, 47, berkata, sejak cuti sekolah bermula, pengunjung ke pekan itu semakin bertambah.

Katanya, suasana itu menggembirakan peniaga ke­rana bukan setiap hari Lumut menerima kunjungan orang luar.

“Alhamdulillah, sejak cuti sekolah bermula, pelanggan saya bertambah, termasuk orang dari luar. Mereka singgah di Lumut sebelum menaiki feri ke Pulau Pangkor, ini sangat membantu meningkatkan jualan kedai saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, kedatangan pelancong ke pekan Lumut semakin berkurangan disebabkan orang ramai mempunyai pilihan untuk ke Pangkor menerusi feri jeti Marina berbanding sebelum ini hanya feri di Lumut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×