BN, PH dapat tempat dalam Kabinet baharu Sabah

BN, PH dapat tempat dalam Kabinet baharu Sabah

JOACHIM Gunsalam (kanan) berucap diiringi oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Titingan ketika sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sempena pelantikan menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Sabah, Sri Gaya, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk seorang wakil masing-masing daripada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilantik menganggotai Kabinet Sabah selepas pembentukan kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Selain BN, UPKO dan PH, komposisi Kabinet Sabah kali ini menyaksikan tujuh wakil GRS, namun tiada dalam kalangan lima ADUN Bebas dilantik meskipun mereka yang menyokong pembentukan kerajaan campuran di bawah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Barisan Kabinet menyaksikan pelantikan tiga Ketua Menteri iaitu ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun merangkap Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick selaku Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Dr. Johachim dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Masidi pula Timbalan Ketua Menteri 2 dan memegang Menteri Kewangan manakala Ewon pula Timbalan Ketua Menteri 3 dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

Antara wakil GRS membarisi senarai Kabinet Sabah adalah ADUN Membakut, Datuk Ariffin Arif dilantik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib dilantik Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu, ADUN Matunggong, Datuk Julita Mojungki dilantik Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dan ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.

Dalam pada itu, ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar daripada PH dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan walaupun parti itu hanya memenangi satu kerusi DUN Sabah.

Pembentukan Kabinet Sabah ini juga menyaksikan pelantikan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin daripada BN apabila Setiausaha UMNO Sabah itu dilantik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dan disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi di Istana Seri Kinabalu di sini semalam.

Keputusan PRN Ahad lalu menyaksikan pembentukan kerajaan campuran antara GRS, lima calon Bebas, PH, UPKO, BN dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) setelah tiada parti meraih majoriti mudah.

GRS memenangi 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Parti Warisan (25), BN (6), Bebas (5), UPKO (3), Parti Solidariti Tanah Airku (2), manakala Perikatan Nasional (PN), KDM dan PH masing-masing meraih satu kerusi. – UTUSAN

Infografik Kabinet Sabah
1. Ketua Menteri: Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-Sulaman)
2. Timbalan Ketua Menteri 1 dan Menteri Kerja Raya dan Utiliti: Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (GRS-Kundasang)
3. Timbalan Ketua Menteri 2 dan Menteri Kewangan: Datuk Seri Masidi Manjun (GRS-Karanaan)
4. Timbalan Ketua Menteri 3 dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan: Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadaimaian)
5. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan: Datuk Ariffin Arif (GRS-Membakut)
6. Menteri Pembangunan Luar Bandar: Datuk Rubin Balang (GRS-Kemabong)
7. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan: Datuk Jamawi Jaafar (PH-Melalap)
8. Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi : Datuk James Ratib (GRS-Sugut)
9. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar: Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau)
10. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat: Datuk Julita Mojungki (GRS-Matunggong)
11. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif: Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS-Apas)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN