CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan rundingan dengan ketua-ketua parti dalam kerajaan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan kekosongan jawatan menteri di dalam Kabinet.
Menurut Perdana Menteri, beliau perlu mendapatkan pandangan mereka (ketua-ketua parti dalam kerajaan) sebelum keputusan itu dibuat.
“Saya akui Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif namun pendekatan demokrasi akan diambil dalam menentukan keputusan itu.
“Ada beberapa kekosongan jawatan menteri jadi, biar saya runding dahulu. Betul, ada budi bicara atau wewenang Perdana Menteri sebelum memohon mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Namun, dalam proses demokrasi dan menghormati pandangan kawan-kawan, saya tentunya akan mendengar beberapa pandangan daripada ketua-ketua parti,” katanya ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10 di sini, semalam.
Katanya, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Anwar mahu siasatan terhadap kes tembak mati penjenayah oleh polis di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini disiasat secara telus tanpa melindungi sesiapa pun.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail supaya menyiasat kes itu secara terbuka.
Katanya, kerajaan tidak melindungi penjenayah tetapi juga tidak melindungi tindakan-tindakan oleh polis yang bertentangan proses undang-undang.
“Kita mengalu-alukan ketegasan polis untuk bertindak terhadap penjenayah namun pada sama menggesa supaya beberapa aduan tentang hal bercanggah proses dan prosedur undang-undang itu disiasat secara teratur.
“Dalam tempoh terdekat ini, saya minta Ketua Polis Negara menyampaikan laporan terperinci, telus, terbuka dan profesional kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Anwar berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun, hal-hal yang bercanggah dengan prosedur perlu disiasat secara terbuka dan telus.
“Umpamanya, kematian dalam tahanan ataupun soal penembakan. Saya tidak campur dalam urusan bagaimana harus dilaksanakan. Tetapi, saya juga gusar sekiranya dianggap beberapa peraturan tidak ada patut,” katanya. – UTUSAN










