Akta OKU 2008 disemak semula 

Akta OKU 2008 disemak semula 

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti semula Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 bagi memperkukuh perlindungan, akses dan hak golongan berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha penambahbaikan itu dilakukan seiring komitmen Malaysia memperkasa golongan OKU supaya terus maju dalam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

Katanya, golongan OKU di negara ini mempunyai kesatuan yang kukuh dan saling menyokong antara satu sama lain termasuk dalam mempromosikan bakat serta meningkatkan penyertaan dalam masyarakat dan ekonomi.

Justeru, katanya, persidangan kali ini turut memberi ruang membincangkan pelaksanaan ASEAN Enabling Master Plan 2025 yang menjadi hala tuju penting dalam memperkukuh penyertaan golongan OKU di seluruh rantau ini.

“Setiap tahun pelbagai perubahan dibuat bagi memastikan semua pihak terlibat dalam perancangan, selain perbincangan mengenai Master Plan 2025 dan perancangan tahun hadapan terus diperkemas.

“Di peringkat ASEAN, negara anggota melaksanakan penilaian kendiri dan semakan dasar masing-masing termasuk melibatkan golongan OKU secara bermakna dalam proses membuat keputusan.

“Malaysia turut mengambil langkah penting dengan melantik seorang perunding nasional dalam kalangan OKU bagi mengetuai penilaian pelan induk di negara ini,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Forum Ketidakupayaan ASEAN (ADF) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan OKU akan diteruskan melalui pelbagai program padanan kerja serta kerjasama dengan sektor swasta.

Katanya, syarikat seperti Guardian dan Kentucky Fried Chicken (KFC) menawarkan peluang pekerjaan dengan syarat fleksibel, sementara beberapa pihak turut membantu menyokong OKU yang ingin menyambung pelajaran atau memulakan perniagaan.

“Sebenarnya, kita mengambil peluang dari mana-mana ruang yang ada melalui program padanan pekerjaan (job matching) untuk membantu mereka.

“Kita mahu mereka inklusif, mampu membantu diri mereka sendiri melalui sokongan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN