JERANTUT: Dalam tempoh satu jam, sebanyak 150 bungkus nasi lemak habis dijual setiap hari di warung kecil milik Hasma Yasin, 54, atau mesra disapa Kak Ma di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini.
Bagi ibu kepada lima anak itu, nasi lemak bukan sekadar juadah harian tetapi penyambung rezeki keluarga apabila suaminya, Sharif Mat, 64, berdepan kemerosotan pendapatan sebagai peneroka sawit di tanah rancangan tersebut.
Menurut Hasma, akibat kekurangan pendapatan suami, dia menjual nasi lemak bagi menampung keperluan keluarga.
“Harga RM2.50 sebungkus dengan telur dan ikan bilis, Alhamdulillah cepat habis setiap hari. Pendapatan bersih sekitar RM80 hingga RM100 sehari dapat saya guna untuk belanja persekolahan anak-anak dan beli keperluan rumah.
“Walaupun ada persaingan, saya tetap buka warung pada setiap hari. Rezeki Allah SWT ada di mana-mana, yang penting usaha,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Warung Hasma bukan sahaja menjadi tumpuan pelajar sekolah agama rakyat dan buruh ladang malah menerima tempahan kenduri tahlil, mesyuarat dan pelanggan luar yang singgah.
Katanya, walaupun berdepan cabaran seperti musim hujan yang menjejaskan jualan, dia tetap konsisten menyediakan antara 100 hingga 150 bungkus nasi lemak pada setiap hari.-UTUSAN.










