NEW DELHI: Dua kereta api monorel berlanggar di sebuah loji kuasa hidro yang sedang dibina di negeri Uttarakhand, utara India semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 109 pekerja cedera.
Kebanyakan pekerja mengalami kecederaan ringan, menurut pegawai daerah kepada Reuters. Empat orang dilaporkan mengalami patah tulang.
Pelanggaran itu berlaku di dalam sebuah terowong di Pipalkoti, lokasi projek hidroelektrik di bawah Tehri Hydro Development Corporation, yang sebahagiannya dimiliki NTPC.
Pegawai pentadbiran tertinggi di kawasan itu, Gaurav Kumar, memberitahu Reuters kemalangan tersebut berlaku pada malam Selasa selepas sistem brek satu daripada tren monorel gagal berfungsi.
Kereta api itu digunakan untuk mengangkut pekerja serta membawa bahan binaan.
Menurut Kumar, landasan itu dibersihkan dan kerja-kerja projek disambung semula pada Rabu.
Tenaga hidro menyumbang kira-kira 51 gigawatt daripada kapasiti tenaga terpasang India yang berjumlah sekitar 505 gigawatt, dengan negeri Uttarakhand menempatkan lebih 10 loji hidroelektrik yang sedang beroperasi berkapasiti kira-kira dua gigawatt, selain beberapa lagi projek yang masih dalam pembinaan.










