Vietnam wajibkan bahasa Inggeris di sekolah menjelang 2035

Vietnam wajibkan bahasa Inggeris di sekolah menjelang 2035

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam merancang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua wajib di semua sekolah menjelang 2035, dengan pengajaran dimulakan seawal Gred 1 pada 2030.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang berwibawa dan bersedia menghadapi persaingan global, sekaligus meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa dalam kalangan pelajar.

Tadika dan pra-sekolah juga akan diwajibkan memperkenalkan asas bahasa Inggeris dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketika ini, bahasa Inggeris hanya diwajibkan mulai Gred 3 di mana sebahagian sekolah yang mempunyai guru mencukupi menawarkan pengajaran lebih awal, namun sebagai subjek elektif dengan dua sesi seminggu.

Lebih 90 peratus pelajar Vietnam menuntut di sekolah kerajaan di mana ketika ini terdapat lebih 26,000 sekolah dengan 23 juta pelajar.

Namun, kerajaan menyasarkan penggunaan meluas bahasa Inggeris di 50,000 sekolah menjelang 2045 sebagai usaha melahirkan generasi berwibawa dan bersedia menghadapi persaingan global.

Menurut Kementerian Pendidikan, Vietnam memerlukan 22,000 guru bahasa Inggeris tambahan di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah menjelang 2030 di mana pada masa ini, hanya sekitar 30,000 daripada 1.05 juta guru di negara itu berkelayakan mengajar mata pelajaran tersebut.

Universiti pula hanya menghasilkan kira-kira 3,000 guru baharu setiap tahun, jumlah jauh daripada mencukupi.

Pada era 1970-an dan 1980-an, bahasa Russia merupakan bahasa asing utama di Vietnam di mana ramai guru mata pelajaran itu kemudian ditukar mengajar bahasa Inggeris meskipun tidak fasih, demi memenuhi permintaan tinggi.

Permintaan tinggi terhadap penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan ratusan pusat bahasa persendirian tumbuh di seluruh negara di mana kos kursus berjumlah sehingga 20 juta dong (RM3,137) bagi tempoh tiga bulan, walaupun pendapatan per kapita tahunan Vietnam hanya sekitar AS$4,700 (RM19,423).

Timbalan Menteri Pendidikan dan Latihan, Pham Ngoc Thuong, berkata keutamaan kerajaan ketika ini termasuk latihan guru, kerjasama antarabangsa, pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan dalam pengajaran bahasa Inggeris. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN