Video tanpa identiti tidak boleh jadi asas pertuduhan

Video tanpa identiti tidak boleh jadi asas pertuduhan

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahan seperti video tanpa identiti, bukti dan laporan rasmi tidak boleh dijadikan asas untuk menuduh mana-mana individu berkaitan salah laku rasuah termasuk terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius penyebaran video temubual oleh ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei yang menampilkan seorang wanita yang wajahnya dikaburkan dan cuba mengaitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dengan skandal rasuah di Sabah.

Katanya, setakat ini tiada sebarang bukti kukuh yang menunjukkan Azam terlibat atau mengetahui apa-apa perbuatan salah dalam skandal tersebut.

“Dakwaan bersifat sensasi seperti ini tidak wajar dijadikan bahan untuk meruntuhkan kredibiliti SPRM dan menjejaskan siasatan sebenar yang sedang berjalan.

“Pada masa sama, MCW menegaskan bahawa video tanpa identiti, tanpa bukti dan tanpa laporan rasmi tidak boleh dijadikan asas untuk menuduh mana-mana individu apatah lagi Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, berlegar di media sosial video berdurasi seminit tujuh saat memaparkan seorang wanita dengan wajah dikaburkan mendedahkan bahawa bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin ada berjumpa Azam bagi meminta untuk meringankan kes ahli perniagaan tersebut dan menyelesaikannya sebaik mungkin kerana beliau turut terlibat.

Dakwa wanita itu yang kemudiannya memperkenalkan diri sebagai Sofia Rini Buyong, perkara tersebut diceritakan sendiri oleh Shamsul Iskandar kepadanya dan seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Ifah’.

Mengulas lanjut, Jais berkata, fitnah terhadap penjawat awam adalah satu kesalahan dan percubaan memanipulasi persepsi rakyat melalui video separuh masak boleh merosakkan keyakinan terhadap institusi negara.

“Sekiranya ada maklumat sebenar, ia mesti dikemukakan melalui saluran sah seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) atau laporan polis bukannya di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, MCW berdiri teguh bahawa integriti institusi penguatkuasaan mesti dilindu­n­gi daripada dakwaan tidak berasas.

“SPRM tidak boleh dilemahkan hanya kerana naratif yang belum diuji kebenarannya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN