PUTRAJAYA: Isu krisis tenaga global dan terkini sekatan oleh Amerika Syarikat di Selat Hormuz antara agenda utama perbincangan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese esok.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri Australia esok.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, selain mengeratkan hubungan antara dua negara, beberapa perjanjian persefahaman akan ditandatangani.
“Perbincangan kedua-dua pemimpin antara lain akan berkisar berhubung krisis tenaga global yang dihadapi seluruh dunia pada ketika ini.
“Isi kandungan ataupun agenda khusus mengenai pertemuan yang akan diadakan antara kedua-dua pemimpin itu belum lagi dilaporkan ataupun dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, beliau percaya Perdana Menteri akan bangkitkan pendirian Malaysia mengenai isu konflik di Asia Barat dan sudah pasti isu mengenai keadaan sekatan yang berlaku di Selat Hormuz.
Wisma Putra dilaporkan berkata, Albanese akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra diikuti dengan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa MoU sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.
Australia adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion).
Berdasarkan data dua hala 2025, Australia membekalkan kira-kira 96 peratus daripada import LNG Malaysia, yang berperanan penting untuk menyokong rangkaian gas di Semenanjung Malaysia serta pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Pada masa sama, Malaysia adalah pembekal utama bahan api kepada Australia, merangkumi kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api Australia. Aliran perdagangan ini adalah rantaian bekalan komersial yang telah kukuh dan bukannya dibuat secara sementara. – UTUSAN
habis.










