Fattah Amin terharu imej muslimah isteri jadi inspirasi ramai - Utusan Malaysia

Fattah Amin terharu imej muslimah isteri jadi inspirasi ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin melahirkan rasa syukur apabila imej sopan yang ditampilkan isterinya, Amira Othman, bukan sahaja mencuri perhatian, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Menurut Fattah, kelebihan sebagai figura awam harus dimanfaatkan sebaiknya dengan mempamerkan contoh teladan yang positif kepada peminat.

“Alhamdulillah, saya ada terbaca komen-komen tersebut. Pada saya, inilah tanggungjawab kita sebagai selebriti untuk menunjukkan contoh yang baik.

“Bila ada yang menjadikan kita sebagai inspirasi, ia sesuatu yang sangat bermakna dan saya amat bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Amira tampil dengan pandangan yang lebih merendah diri apabila menjelaskan bahawa penampilan sopan yang diamalkan bukanlah sesuatu yang dibuat-buat, sebaliknya sudah sebati dalam dirinya sejak dahulu.

“Sejujurnya, apa yang saya pakai bukan sekadar untuk menjaga nama suami, tetapi juga untuk diri saya sendiri.

“Sejak kecil lagi, cara pemakaian saya sudah dibentuk oleh ibu. Jadi apa yang dilihat hari ini hanyalah diri saya yang sebenar,” ujarnya.

Dalam nada penuh berhati-hati, Amira turut mengakui rasa terharu apabila penampilannya dihargai, namun enggan terlalu leka dengan pujian yang diterima.

“Bila orang menghargai, saya anggap itu satu rahmat. Tetapi saya tidak mahu terlalu selesa.

“Hari ini mungkin orang suka, tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan. Saya takut jika tersilap langkah, pandangan itu berubah,” katanya jujur.

Amira dalam masa sama berharap agar orang ramai terus mendoakan yang baik-baik, selain mengingatkan bahawa setiap insan mempunyai perjalanan dan ujian tersendiri dalam usaha menjadi lebih baik.

“Saya tidak mahu terlalu berbangga dengan pujian ini kerana saya sendiri pun masih belajar dan tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN