ALOR SETAR: Isu pakaian atlet khususnya melibatkan garis panduan berasaskan syariat Islam menjadi antara fokus utama dalam penggubalan Dasar Sukan Satu Ibadah di Kedah yang kini berada di peringkat akhir.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata, atlet beragama Islam diwajibkan mematuhi syarat pemakaian ditetapkan sementara bukan Islam hanya tertakluk kepada garis panduan umum.
“Sebagai contoh, penjagaan aurat yang menjadi salah satu item dalam dasar ini, atlet yang beragama Islam perlu mematuhi kriteria dan syarat-syarat pemakaian yang ditetapkan oleh Islam. Masyarakat bukan Islam, syarat-syarat yang diletakkan lebih umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd. Radzi Md Amin (PN-Pedu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri memberi jaminan dasar tersebut bagaimanapun tidak akan mendiskriminasi mana-mana pihak sebaliknya akan menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Tambah beliau, kerajaan negeri mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan khususnya dalam kalangan bukan Islam namun menegaskan dasar itu tidak bersifat paksaan.
“Atlet Islam perlu patuhi kriteria pemakaian ditetapkan tetapi bagi bukan Islam syaratnya lebih umum. Dasar ini tidak memaksa mereka mengikut syariat,” katanya.
Katanya, antara perkara lain yang diberi perhatian adalah isu sentuhan fizikal antara jurulatih dan atlet berlainan jantina yang tidak dibenarkan dalam syariat Islam. – UTUSAN










