KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengesahkan Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kubang Batang, Tumpat yang mempunyai kaitan dengan seorang mudir dikenali sebagai ‘Abuya’ sudah menutup sepenuhnya operasi pusat pengajian berkenaan sebagaimana arah yang dikeluarkan pihaknya serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).
Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Mohd. Anis Hussein berkata, perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu surat yang telah dihantar oleh pengasasnya Mohamad Aswadi Yah kepada MAIK dua minggu lalu.
Katanya, dalam surat tersebut Abuya turut menyatakan kesediaan untuk mendaftarkan pondok pengajian tersebut secara rasmi.
“Sebarang isu membabitkan mudir pondok itu adalah kesalahan individu dan tidak melibatkan keseluruhan institusi. Kalau mudir itu ada kes jenayah dan disabitkan kesalahan, kita tunggu keputusan pihak berkuasa.
“Tapi yang bersalah ialah individu, bukan pondok. Setakat ini, pondok itu sendiri diurus dengan baik dan pelajar pun tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Let’s Do I.T 2025 di Masjid Jamek As-Salam Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Utusan Malaysia 24 Oktober lalu melaporkan, Maik mengarahkan operasi Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kubang Batang di sini yang mempunyai kaitan dengan seorang mudir dikenali sebagai ‘Abuya’ ditutup serta merta berkuatkuasa hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Anis memberitahu, Maik akan menganjurkan sesi dialog awam bersama semua Institusi Pendidikan Islam (IPI) termasuk yang tidak berdaftar dan sementara di seluruh negeri ini bermula 16 hingga 18 November.
Katanya, menerusi sesi itu nanti Maik akan penerangan dan panduan kepada semua pihak berkaitan dengan garis panduan perjalanan IPI di negeri ini.
Terdahulu, Mohamad Aswadi didakwa di empat mahkamah berasingan di Kelantan, Terengganu dan Perak atas 17 pertuduhan melibatkan amang seksual terhadap pelajar lelaki dan satu kes memiliki bahan lucah sejak Jun 2024 sehingga Ogos lalu.
Lelaki itu membayar jaminan sebanyak RM93,000 yang ditetapkan oleh keempat-empat mahkamah tersebut bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya-UTUSAN










