KOTA KINABALU: Tiga parti iaitu Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan) dilihat bersaing sengit dalam tempoh kempen berbaki seminggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada 29 November ini.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ketiga-tiga parti terlibat bersaing sesama sendiri di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan terutama berhampiran kawasan bandar.
Selain itu, di kawasan terutama luar bandar pula, ketiga-tiga parti dilihat mendahului parti-parti lain, termasuk calon Bebas.
Walau bagaimanapun, sumber dalaman BN mengakui masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan terhadap kecenderungan pengundi yang dijangka hanya dapat diketahui pada minggu atau hari-hari terakhir kempen.
“Kemungkinan kita setakat ini berada di hadapan, tetapi segalanya boleh diketahui pada minggu depan atau 48 jam pengundian berlangsung,” kata sumber itu, semalam.
Warisan pula menaruh harapan boleh membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah berdasarkan tinjauan awal setakat ini.
Kata maklum dalaman parti itu, mereka bukan sahaja berpeluang memenangi 29 kerusi pada PRN 2020 tetapi berupaya menambah jumlah tersebut.
“Namun segalanya bergantung kepada kempen akhir menjelang hari pengundian nanti,” katanya.
Begitu juga di pihak GRS, apabila parti itu berkeyakinan tinggi untuk menang dalam PRN kali ini atau sekurang-kurangnya 37 kerusi DUN.
“Kita terlalu yakin dalam soal ini, sebaliknya serah kepada pengundi pada minggu depan,” kata sumber dalaman parti itu.
Dalam pada itu, terdapat sekurang-kurangnya 20 kerusi menjadi saingan sengit khususnya pertembungan lebih 10 penjuru antaranya Tamparuli, Inanam dan Moyog di samping beberapa DUN yang menyaksikan majoriti tipis ketika PRN Sabah 2020.
Sementara itu, tinjauan dalam kalangan pengundi mendapati, pelbagai faktor menjadi pertimbangan mereka dalam menentukan calon pilihan termasuk warga tempatan, manifesto, rekod kerja calon serta isu pembangunan tempatan.
Bagi pekerja swasta, Dardin Madin, 48, dia masih menilai perancangan dan hala tuju calon dan parti sebelum keluar mengundi.
“Saya mahu calon yang mampu buat kerja, bukan sekadar cakap kosong,” katanya menambah, parti tempatan mungkin menjadi pilihan.
Seorang lagi pengundi, Aiman Saleh, 22, pula menekankan kepentingan calon yang memahami keperluan golongan muda, termasuk pendidikan dan peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, dia mengakui masih belum membuat keputusan mengenai calon yang akan dipilih di sebalik kehangatan kempen PRN berlangsung.
“Saya masih menimbang semua faktor dan mahu pastikan pilihan saya tepat. Buat masa ini, saya belum tahu siapa yang akan saya undi,” katanya.
Bagi Ramlan Sambas, 25, kejujuran dan sikap calon menjadi kriteria utama dalam menentukan pilihannya dan mengakui sukar untuk membuat keputusan pada kali ini.
Katanya, terlalu banyak calon bertanding termasuk pertembungan lebih lima penjuru yang menyebabkan dia termasuk ahli keluarga lain sukar membuat pilihan.
“Saya masih menilai setiap calon dan mahu pastikan pilihan saya benar-benar tepat. Saya belum buat keputusan lagi,” katanya.
Mohd. Azlan Aranain, 33, pula menekankan calon yang aktif dalam komuniti dan dekat dengan rakyat.
“Calon yang turun padang dan dengar masalah kita, itu yang penting. Setakat ini, saya masih ragu-ragu dan belum membuat keputusan siapa yang akan saya undi. Saya tahu penting untuk pilih calon yang turun padang, dengar masalah kita dan benar-benar ambil berat tentang kehendak rakyat, tapi buat masa ini, saya masih belum pasti siapa yang akan saya undi,” katanya.
Dayang Zaleha Mohammad, 57, pula berharap calon yang dipilih nanti dapat membawa kestabilan politik dan pembangunan ekonomi ke kawasan mereka.
“Saya mahu calon yang mampu membawa perubahan positif dan pembangunan nyata untuk kawasan kami. Tapi buat masa ini, saya masih belum pasti siapa yang akan saya undi,” katanya. – UTUSAN










