Sabah memilih siapa?

Sabah memilih siapa?

RAMLAN Harun memeriksa barangan undi di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Ke-17 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, semalam. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masa depan Sa­bah bergantung kepada 1.78 juta pengundi Pilihan Raya Ne­ge­ri (PRN) hari ini yang bakal me­nentukan calon dan parti ma­nakah bakal mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Selepas dua minggu Sabah hangat dengan kempen pilihan raya bermula 15 November la­lu, kini masanya mereka memilih dalam kalangan 596 calon daripada 22 parti politik dan 74 calon Bebas yang menawarkan diri untuk bertanding di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) de­ngan 37 kerusi majoriti mudah diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Selain itu, hala tuju Sabah ter­letak kepada 53.9 peratus atau 960,099 pengundi muda ber­usia antara 18 dan 39 tahun daripada keseluruhan pemilih berdaftar dengan menjadikan mereka kelompok terbesar dan berpotensi mencorakkan landskap politik Sabah.

PRN kali ini menyaksikan peningkatan 149 calon atau 33 peratus berbanding pilihan raya kali terakhir pada 2020 di samping pertembungan antara empat hingga 14 penjuru dengan sekurang-kurangnya 10 kerusi panas menyaksikan persaingan sengit.

Seramai 1.78 juta pengundi perlu menjalankan tanggungjawab di 882 pusat mengundi merangkumi 3,558 saluran yang dibuka bermula pukul 7.30 pagi sehingga pukul 5 petang. Namun, beberapa kawasan khususnya pulau ditutup lebih awal sekitar 12 tengah hari, bergantung kepada keadaan setempat.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, namun dijangka ia rendah berikutan keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan di negeri ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hari pengundian berdepan cuaca hujan di kebanyakan daerah dan ia diramal berterusan pada waktu pagi dan petang di majoriti kawasan termasuk Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau, Semporna, Kunak dan Kalabakan.

Situasi itu memerlukan pe­ngundi merancang pergerakan lebih awal ke pusat mengundi, terutama bagi kawasan yang berisiko dilanda hujan lebat dan ribut petir pada waktu pagi.

Di bahagian barat Sabah, beberapa kawasan seperti Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Papar diramal mendapat hujan pada sebelah pagi sebelum berlarutan sehingga ke petang.

Selain itu, ia bergantung kepada 200,000 pengundi Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia sama ada mereka pulang mengundi atau sebaliknya pada hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, berdasarkan trend undi awal, kadar kehadiran mencecah lebih 92 peratus, namun dengan faktor cuaca, pihaknya me­nyasarkan kira-kira 60 peratus pengundi sahaja dapat hadir menunaikan tanggungjawab.
Katanya, tiada tambahan masa akan diberikan untuk proses pengundian.

“SPR juga bersedia me­ngambil tindakan untuk me­nunda atau menangguhkan pi­lihan raya sekiranya berlaku keadaan serius, berdasarkan laporan yang diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Keadaan boleh menjadi serius, contohnya apabila hampir semua kawasan ditenggelami air atau berlaku tanah runtuh. Untuk itu, kita telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi menghadapi sebarang situasi kritikal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi semakan isi peti undi Dewan Seri Sulaman, Tuaran, semalam.

Selasa lalu, seramai 17,615 orang atau 92.5 peratus daripada 24,426 pengundi awal yang merangkumi anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing telah menjalankan tanggungjawab mereka di 58 pusat mengundi awal yang ditetapkan SPR.

Ramlan berkata, walaupun berlaku banjir kilat atau gangguan cuaca, proses pilihan raya tetap diteruskan seperti biasa, dengan penggerakan aset-aset operasi melalui agensi kerajaan berkaitan.

“Jika ada kawasan terputus hubungan, JPBD akan menge­rahkan aset seperti bot, perahu dan kemudahan lain untuk membantu pergerakan penduduk,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, SPR turut menyediakan perkhidmatan helikopter bagi mengangkut kertas undi dan dokumen daripada pusat mengundi yang terletak di pulau dan kawasan pedalaman yang sukar diakses.

“Bagi kawasan lain, akses akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), bot dan aset-aset lain bergantung kepada keadaan geografi. Angka terperinci bagi penggunaan bot dan 4WD tidak tersedia, tetapi bagi penggunaan helikopter untuk 85 kawasan,” katanya.

Ramlan berkata, pihaknya menjangkakan keputusan ras­mi PRN Sabah kira-kira 12 te­ngah malam, namun ia bergantung kepada seluruh proses pengiraan undi selesai.

Katanya, keadaan cuaca tidak menentu mungkin memberi kesan terhadap kelancaran operasi.

“Kita mula menjangkakan dalam sekitar pukul 10 malam, mungkin ada keputusan awal boleh keluar, tetapi kita tak dapat menjangkakan tempoh yang sesuai dalam keadaan cuaca begini,” katanya.

Beliau menyeru pengundi agar keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.

Ini kerana, cuaca dijangka hujan dengan keadaan lebih serius pada waktu petang se­perti laporan MetMalaysia dan keadaan itu boleh menjejaskan proses membuang undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN