Remaja perempuan perlu dilindungi daripada ancaman digital

Remaja perempuan perlu dilindungi daripada ancaman digital

DR. WAN AZIZAH Wan Ismail bergambar bersama ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PPPM Ke-109 di Wisma Pandu Puteri Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan remaja perempuan perlu dilindungi dan diberi kesedaran supaya tidak menjadi mangsa kecelaruan digital atau terlibat dalam penyebaran berita palsu, buli siber serta penipuan dalam talian.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkembangan teknologi yang pesat tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab ibu bapa, pendidik dan komuniti dalam memantau interaksi media sosial anak-anak yang terdedah kepada risiko dalam talian.

“Kemajuan teknologi harus digunakan untuk tujuan yang murni. Namun pada masa sama, kita perlu memastikan ahli-ahli Pandu Puteri mempunyai jati diri yang tinggi termasuk empati dan luhur budi pekerti.

“Sama-samalah kita pantau penggunaan media sosial anak-anak kita, lihat apa yang dikomen, apa yang dihantar dan dengan siapa mereka berhubung. Bukan untuk mengongkong, tetapi untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara negatif,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun PPPM ke-109 di Wisma Pandu Puteri Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, majlis sambutan turut menyaksikan pelancaran Kumpulan Advokasi Remaja Wanita, platform yang memberi peluang kepada ahli muda memperkukuh kepemimpinan diri, kepekaan sosial serta kesedaran terhadap ancaman digital dan keselamatan siber.

Dr. Wan Azizah juga menekankan keperluan menyediakan ruang sistematik kepada remaja perempuan untuk didengari dan terlibat dalam proses advokasi agar mereka yakin menyuarakan isu yang dekat dengan hati mereka.

“Melalui advokasi ini, kita mahu melahirkan generasi pemimpin wanita muda yang berani, berilmu dan mampu mencorakkan masa depan negara dengan penuh hikmah,” katanya.

Beliau turut berkata, keteguhan PPPM bertahan dan terus berkembang selama lebih satu abad membuktikan kekuatan budaya kebersamaan dan kerja berpasukan yang menjadi teras pembentukan kepemimpinan wanita muda di negara ini.

Katanya, kejayaan sesebuah organisasi bertahan sehingga 109 tahun adalah pencapaian besar yang dibina melalui sokongan pemimpin, sukarelawan dan ahli di seluruh negara.

“Saya yakin setiap program berimpak tinggi yang dilaksanakan mampu memberi manfaat terus kepada kumpulan sasar dengan pengurusan sumber yang optimum,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN