ALOR SETAR: Percutian singkat yang sepatutnya menjadi memori berharga bersama keluarga tanpa disangka bertukar mimpi ngeri buat rakyat Malaysia yang terperangkap banjir di Hat Yai, Thailand.
Dalam kejadian disifatkan penduduk tempatan sebagai antara banjir terburuk dalam tempoh beberapa tahun, hujan lebat berterusan menenggelamkan jalan utama, pusat beli-belah, hotel serta kawasan pelancongan.
Malah, ada yang mengambil keputusan mengharungi air bagi mengelak terperangkap lebih lama apatah lagi tidak sanggup melihat anak kecil kelaparan tanpa makanan mencukupi.
Pengalaman itu turut dilalui Wan Nur Asyikin Wan A’zemim, 33, bersama suami dan dua anaknya yang terkandas dua hari sejak 21 November lalu di The Color Hotel, Hat Yai.
“Pada hari ketiga, air di hadapan hotel surut sedikit jadi saya bersama suami, anak-anak kami dan tujuh rakan mengambil keputusan untuk berjalan kaki mengharungi banjir sejauh 1.5 kilometer (km).
“Paras air ketika itu mencecah betis, saya dukung anak, Nadhif Alfian yang berusia sembilan bulan, manakala anak sulung, Ifti Liyanna dibantu rakan dan suami pula mengusung bagasi kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Nur Asyikin berkata, mereka bergerak dari hotel berkenaan kira-kira pukul 11 pagi dan setelah tiba di kawasan Central Hat Yai, terpaksa menunggu sehingga pukul 4 petang untuk menaiki lori ke sempadan.
“Ketika itu hujan sangat lebat, anak-anak bukan sahaja kesejukan tetapi kelaparan kerana tidak makan secukupnya sejak Jumaat apabila air memenuhi perkarangan hotel.
“Mereka juga mengantuk ketika itu, setelah agak lama anak-anak tidur berdukung ada seorang warga Thailand datang membawa tilam dan tidur di kaki lima sebuah bangunan yang tidak dinaiki air,” katanya.
Ujarnya, cabaran mereka tidak terhenti di situ kerana terpaksa mengharungi dua jam perjalanan di atas lori untuk ke sempadan dengan bayaran THB500 (RM64) seorang.
Namun, ketika tiba di Khlong Ngae, Sadao, mereka perlu menukar kenderaan dengan menaiki van ke sempadan Padang Besar, Perlis untuk masuk ke Malaysia.-UTUSAN.










