Pesara didakwa rogol anak kandung

Pesara didakwa rogol anak kandung

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub, Pahang semalam bagi didakwa atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang pesara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 35 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pertuturan di rumah mereka di Karak, Bentong, dekat sini, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 63 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sumbang itu terhadap anak perempuannya di rumah mereka di Taman Makmur Jaya, Karak, antara pukul 10 malam pada 17 Oktober lalu hingga 5 pagi keesokan harinya.

Ketika kejadian, tertuduh difahamkan tinggal serumah bersama isteri dan mangsa. Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hakimie Ab Hadi mengendalikan pendakwaan ma­nakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Hakim Noor Zaihan turut menetapkan 26 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN