KUALA LUMPUR: Perjumpaan ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman Presiden Bersatu itu di Bukit Damansara di sini malam tadi tidak menyentuh langsung mengenai isu penukaran jawatan ketua pembangkang
Sebaliknya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan berkata, perjumpaan pada majlis makan malam itu hanyalah perbincangan yang memberi tumpuan kepada strategi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kami tidak berbincang mengenai pemecatan ketua pembangkang dan untuk perjumpaan kali ini kami hanya memfokuskan kepada PRN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu.
Kereta yang dinaiki Salam dan beberapa buah kereta yang membawa ahli Parlimen yang lain dilihat keluar dari kediaman Muhyiddin kira-kira pukul 11 malam tadi.
Antara yang dilihat hadir termasuklah Timbalan Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Putrajaya yang merupakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Sementara itu, Kalam berkata, semua yang hadir malam ini turut telah menyatakan sokongan penuh kepada Muhyiddin.
“Kami buat masa ini masih menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yasin,” katanya menambah bahawa persetujuan dicapai bahawa parti perlu kekal kepada agenda pengukuhan menjelang pilihan raya akan datang.
Sementara itu, dakwaan berlakunya satu perhimpunan di luar kediaman Muhyiddin tidak berlangsung seperti yang digembar-gemburkan.-UTUSAN.










