Penduduk Kampung Papan kesal rumah tetap diroboh

Penduduk Kampung Papan kesal rumah tetap diroboh

Kampung Papan
PENDUDUK membantah arahan pengosongan dan tindakan perobohan terhadap rumah mereka dekat Kampung Papan, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerja-kerja perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran, di sini tetap dirobohkan apabila sekurang-kurangnya 23 buah kediaman di sana sudah pun menyembah bumi sejak Isnin lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut hari ini mendapati sebelum perobohan dilakukan notis dan arahan pengosongan diberikan oleh bailif mahkamah terhadap rumah-rumah yang dikesan masih diduduki.

Bagaimanapun, ketika arahan tersebut diberikan berlaku insiden pertengkaran dan saling tolak menolak antara pasukan polis yang bertugas bersama sebahagian penduduk yang mendakwa pihak berkuasa perlu mematuhi keputusan mesyuarat Kerajaan Selangor bersama penduduk dan pemaju pada 21 Oktober lalu.

Salah seorang penduduk yang merupakan penyewa di sebuah rumah terlibat, Mahendran, 50, berkata, dia kesal dengan arahan pengosongan diberikan kerana tidak mampu berpindah dalam terdekat akibat kemalangan jalan raya.

“Saya alami patah kaki kiri akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu dan masih belum pulih sepenuhnya. Sejak itu saya tidak bekerja kerana tak boleh berjalan.

“Bagaimana hendak pindah dengan keadaan begini. Minggu lepas terpaksa jalani pembedahan pada bahagian peha kerana terjatuh akibat lantai licin. Atap rumah bocor, bila hujan air mencurah ke lantai,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pegawai bailif.

Bulan lalu, sekumpulan penduduk dilaporkan berhimpun secara aman bagi membantah tindakan pemaju yang mahu menghalau mereka keluar dan mahu merobohkan rumah.

Kemudian Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah memberitahu kerajaan bersetuju supaya hanya rumah tidak berpenghuni sahaja dirobohkan berdasarkan keputusan dicapai dalam mesyuarat bersama pemaju serta wakil penduduk pada 21 Oktober lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN