KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila kenyataan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mendakwa Parlimen gagal dan mengaitkan isu apartheid dalam pengagihan peruntukan dibantah Ahli Parlimen kerajaan.
Kekecohan itu tercetus selepas Shahidan meluahkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa peruntukan masih tidak diberikan kepada pembangkang selain mempersoalkan peranan Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Unit itu kononnya menjadi agensi pusat yang unggul dalam penyelarasan pembangunan negara. Dia kata ada RM761 juta, tapi tidak disebut peruntukan untuk Ahli Parlimen Madani atau PH. Pembangkang langsung tidak dapat,” katanya.
Terdahulu, sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bertukar tegang apabila Shahidan dan RSN Rayer (PH-Jelutong) saling bertikam lidah sehingga terpaksa dihentikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
Kenyataan itu segera mencetuskan reaksi daripada Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang membidas tindakan pembangkang menolak Belanjawan 2026 tetapi kemudiannya menuntut peruntukan.
“Kelmarin kamu tolak, hari ini minta. Otak kamu timbalan menteri untuk rakyat Malaysia, bukan untuk parti kamu,” sindir Shahidan membalas celahan itu.
Dalam ucapannya, Shahidan turut mencadangkan supaya perkhidmatan Parlimen dilaksanakan secara tertutup agar institusi itu benar-benar bebas dan berwibawa.
“Sebagai institusi perundangan yang bebas dan bertaraf dunia. Tak dunia pun, di Malaysia pun gagal. Saya sokong supaya Parlimen laksanakan perkhidmatan tertutup,” katanya.
Kenyataan itu kemudian mengundang kemarahan Rayer yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4), menegur Shahidan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Parlimen.
Situasi semakin panas apabila Shahidan sekali lagi mengaitkan dasar apartheid dalam isu peruntukan kepada pembangkang, hingga Rayer menegurnya dengan tegas.
“Bagaimana boleh kata dasar apartheid? Fahamkah dia maksud apartheid? Jangan jatuhkan maruah institusi Parlimen dan jangan guna perkataan apartheid. Negara kita tidak mengamalkan apartheid,” kata Rayer.
Kekecohan berlarutan beberapa minit sebelum Alice menenangkan keadaan dan meminta Rayer mengemukakan usul rasmi kepada Dewan berhubung kenyataan Shahidan itu. – UTUSAN










