PUTRAJAYA: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohamed Hashim sempat menitip pesanan kepada hakim-hakim di negara ini sebelum beliau menamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada hari ini.
Pesannya, ‘nikmati kehidupan, jaga kesihatan mental tapi siapkan penghakiman dalam tempoh lapan minggu’
“Saya selalu beritahu hakim-hakim untuk menikmati kehidupan kerana ada di antara mereka yang mereka yang merasa tertekan ketika menyiapkan penghakiman. Beban tugas sentiasa akan ada tetapi kerja tidak seharusnya dilakukan 24 jam.
“Awak (hakim-hakim) perlu bijak menguruskan kehidupan, tidak kira di rumah, keluarga atau di tempat kerja. Apabila awak mampu mengurus dan mengimbangi kesemua ini, anda akan baik-baik sahaja. Jadi awak perlu tahu untuk mengimbanginya (kehidupan dan kerjaya) sama seperti profesion yang lain.
“Tempoh lapan minggu (untuk menyiapkan penghakiman) adalah memadai. Bagi saya ia memadai. Sesiapa yang menyata ia tidak boleh dilakukan, mungkin perlu menyusun semua cara hidup mereka atau cara mereka melakukan tugas. Lapan minggu adalah memadai,” kata Hasnah.
Tambah wanita itu, bagi memastikan kesihatan mental hakim-hakim terjaga, Hasnah telah mengeluarkan Arahan Amalan yang memberi panduan kepada para hakim untuk menulis penghakiman ringkas.
“Kami telah memberikan format kepada hakim-hakim. Bagi permohonan interlokutari, mereka hanya perlu ikut format yang disediakan. Kami juga menggalakan hakim-hakim untuk membuat penghakiman yang ringkas. Ia mungkin sukar di peringkat Mahkamah Persekutuan tetapi di peringkat Mahkamah Tinggi, ia boleh dilakukan,” kata Hasnah.

Pada pertemuan singkat dengan petugas media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini hari ini, satu sisi asing yang tidak pernah dilihat ketika wanita itu dalam `mod bekerja’ terungkai satu persatu.
Menjawab mengenai cara beliau menikmati kehidupan terutamanya selepas bekerja, Hasnah memberitahu beliau suka memasak, menonton drama atau filem genre komedi romantik dan turut melepaskan lelah dengan melayari TikTok.
“Kamu semua (media) mungkin tidak percaya tetapi sepanjang karier saya sebagai hakim, saya tahu cara untuk menikmati kehidupan.
“Saya suka muzik, saya suka menari (dan) memasak. Saya tetap memasak walaupun saya sibuk bekerja. Saya juga suka tengok TikTok tetapi bukan nak tengok drama tapi tengok berkait masakan atau tarian.
“Saya suka pasta. Saya dah cuba bermacam-macam (jenis pasta). Saya suka pasta berasaskan miso (miso based pasta), pasta gochujang dan pasta yang dipopularkan oleh model Gigi Hadid, pastinya versi tanpa alkohol.
“Disebabkan saya berkahwin dengan orang Negeri Sembilan, saya juga tahu buat Masak Lemak Cili Api, buat Sambal Tempoyak Daun Kayu (makanan tradisi Negeri Pahang). Sebagai seorang wanita berkerjaya, awak (masih) perlu menjaga keluarga sendiri. Bila memasak, ia akan menenangkan awak, kalau `baking’, ada kemungkinan tak jadi tetapi cuba lagi.
“Jadi pesanan saya pada hakim-hakim, cari satu ruang (untuk melepaskan tekanan kerja) seperti berlari, main golf, bersukan, apa saja. jadi bila awak kembali (bekerja), buka fail dan membaca, awak akan berada dalam keadaan yang tenang, santai,” kata Hasnah.
Hasnah dilahirkan pada 15 Mei 1959 di Kuantan, Pahang telah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak perempuan.
Hasnah turut mendedahkan bahawa beliau tidak pernah berfikir untuk masuk dalam dunia perundangan atau kehakiman.
“Saya sebenarnya nak buat (belajar) pengiklanan tetapi datuk saya tak benarkan. Jadi, antara ekonomi atau undang-undang. Memandangkan saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, jadi undang-undang menjadi pilihan.
“Dan saya sukakannya (pengajian undang-undang). Saya menjadi sangat berminat dengannya. tetapi tidak sekali pun terlintas di fikiran, saya boleh berada ke tahap ini,”katanya.
Akhir kata, Hasnah juga sempat menitipkan pesanan kepada bakal peguam dan hakim:
“Terdapat banyak kejatuhan sebelum anda boleh bangkit dan terus naik. Terdapat banyak cabaran dan ia (kejayaan) juga tidak berlaku dalam sekelip mata. Pada golongan muda, awak tidak akan berjaya sekelip mata, awak perlu bekerja sangat keras. Tidak ada jalan pintas (dalam perundangan dan kehakiman).” katanya.-UTUSAN.








