Muhyiddin dituntut selesai krisis Bersatu

Muhyiddin dituntut selesai krisis Bersatu

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin meruncing susulan tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin utama menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

Mereka bimbang kemelut yang sedang melanda parti itu bakal menjejaskan kekuatan serta fokus Bersatu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim berkata, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneliti serta menyelesaikan kemelut tersebut dengan penuh kebijaksanaan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.

Katanya, penyelesaian secara harmoni perlu segera dicapai agar perpaduan parti dapat dikekalkan demi kesejahteraan ahli dan kestabilan Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.

“Saya berharap Tan Sri (Muhyiddin) selaku Presiden dapat melakukan sesuatu yang terbaik supaya semua pihak dapat duduk semeja menyelesaikan segala perkara berbangkit demi kepentingan parti.

“Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, kami mahu penyelesaian dibuat dengan adil tanpa kelebihan kepada mana-mana pihak. Ini penting untuk memastikan masa depan Bersatu lebih kukuh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Bersatu mula bertindak termasuk memecat dan menggantung keahlian pemimpinnya yang didapati bersekongkol menentang pucuk pimpinan terutama Muhyiddin sebagai Presiden.

Antara yang dipecat termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris, Ketua Bahagian Pengerang, Mohd. Faizal Asmar, Ketua Bahagian Ipoh Timur, Mohd. Fadhli Ismail dan Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi.

Sementara itu, keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama satu penggal.

Dalam perkembangan berkai­tan, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah turut digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pahang selepas menggesa Muhyiddin berundur bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu.

Izizam yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Perlis berkata, hubungan baik dengan Pas perlu terus dipelihara bagi memastikan kekuatan PN tidak terjejas.

“Segala keputusan dan kenyataan mesti dibuat secara kolektif agar tidak menjejaskan persefahaman dalam PN,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pelantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi PN Perlis dan berharap kepimpinan baharu itu dapat memperkukuhkan perpaduan serta gerak kerja parti di negeri ini.

Dalam pada itu, bekas Ketua Bersatu Bahagian Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi berkata, tindakan memecat dan menggantung pemimpin Bersatu tidak menyelesaikan sebarang masalah, malah menjejaskan keadaan dalaman parti dengan teruk serta memberi kesan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Jangan salahkan kami di bawah. Kami sudah beri nasihat, kami sudah minta selesaikan segera. Kalau Pas membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan PN, itu kerana kita gagal uruskan masalah sendiri. Pas pusat sudah bagi masa pada kita untuk selesaikan segera. Malah, kita juga faham Pas tidak mahu jadi pembangkang selamanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN