KANGAR: Penulis buku cerita kanak-kanak, Muhammad Harun, 71, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seni Perlis 2025 dalam satu majlis di sini, semalam.
Penganugerahan tersebut bagi menghargai sumbangan pengiat seni, budayawan serta individu yang banyak berjasa dalam memperkasakan seni budaya di negeri ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah sekali gus membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, trofi bersama watikah penghargaan.
Muhammad aktif menghasilkan pelbagai jenis bahan bacaan dan buku cerita kanak-kanak antaranya terdiri daripada fiksyen, non fiksyen, cerita rakyat, hikayat dongeng dan pelbagai lagi.
Selain itu, bapa kepada empat anak itu turut menghasilkan buku penceritaan berkonsepkan pengetahuan serta Sains.
Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 544 judul buku pelbagai jenis berdasarkan daripada Rekod Bibliografi Negara oleh Perpustakaan Negara Malaysia.
Bekas pesara perkhidmatan awam itu juga berkhidmat selama 34 tahun dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Perlis.
Pada tahun 2016, Muhammad turut dinobatkan sebagai Tokoh Persuratan Melayu Perlis oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Muhammad berkata, antara buku dihasilkannya yang mendapat sambutan sebelum ini adalah terdiri daripada buku fiksyen, cerita rakyat dan buku pengetahuan berkaitan fakta.
“Ada juga di antara buku-buku yang dihasilkan adalah berdasarkan kisah sebenar manakala naskhah cerita rakyat pula kebiasaan diolah semula daripada kisah-kisah lama,” katanya.-UTUSAN










