KUALA LUMPUR: Kesemua kes yang dihadapi oleh Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkaitan projek pembinaan Lebuhraya Maju Expressway II (MEX II) akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib untuk memindahkan kesemua pertuduhan.
Dalam prosiding semalam, Abu Sahid mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan yang dipindahkan dibaca semula di mahkamah semalam. Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM1.5 juta yang dikenakan terhadap Abu Sahid sebelum ini.
Pada 8 September lalu, Abu Sahid, 74, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM100 juta.
Pada 24 September lalu, Abu Sahid didakwa pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM145,550,000 yang dibayar ke satu akaun eskrow.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, mahkamah turut membenarkan permohonan untuk memindahkan 18 pertuduhan yang dihadapi bekas pengarah syarikat, Datuk Yap Wee Leong dari Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen di sini.
Wee Leong turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas kesemua 18 pertuduhan itu dibaca semula. Mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM1 juta yang dikenakan sebelum ini.
Pada 8 September lalu, Wee Leong yang juga pemegang konsesi Lebuhraya MEX II mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini bagi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bayaran kemajuan (progress claim) projek lebuh raya yang sama, di sini.
Pada 25 September lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Wee Leong dihadapkan dengan sembilan pertuduhan menggunakan butir matan palsu dan sembilan pertuduhan pemindahan wang haram dipercayai berkaitan transaksi pembinaan projek lebuh raya antara November 2017 hingga Ogos 2018.
Abu Sahid dan Wee Leong diwakili peguam Datuk Jasbeer Singh dan Abdul Hakeem Aiman. Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.-UTUSAN.










