
PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menampilkan Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai berpotensi mencipta kemenangan pada hari pengundian 29 November Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ia mengambil kira pertembungan 11 penjuru, calon PN itu mempunyai kelebihan berbanding calon lain kerana beliau bukan sahaja dikenali di peringkat negeri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, tetapi juga pengaruhnya di kawasan tersebut.
Calon lain turut bertanding di DUN Karambunai ialah daripada Barisan Nasional, Parti Bumi Kenyalang, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Gemilang Anak Sabah, Gabungan Rakyat Sabah, Parti Damai Sabah, STAR, Warisan, Parti Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Impian Sabah.
Pertembungan pelbagai penjuru lazimnya membuka peluang kepada calon yang mempunyai undi asas yang konsisten dan reputasi tinggi, namun dalam masa sama boleh menghasilkan keputusan yang sukar dijangka ekoran pemecahan undi ketara dalam blok pembangkang serta blok kerajaan.
Di sebalik stigma terhadap parti Semenanjung, penerimaan terhadap Aliakbar berbeza kerana beliau telah lama membina keakraban di Karambunai melalui pelbagai program komuniti, keilmuan dan pembangunan sosial.
Khususnya membabitkan isu sogokan roti seperti dicetuskan rakannya daripada Pas, Aliakbar dengan kenyataan segera membantah kenyataan itu sekali gus mempertahankan maruah integriti tidak mudah beli.
Selain itu, pola pengundi Sabah cenderung memilih kredibiliti calon berbanding label parti, dan ini memberi kelebihan kepada PN jika pengundi menilai rekod individu lebih tinggi daripada sentimen parti.
Ia sekali gus menjadikan Karambunai sebagai kerusi paling realistik untuk Pas melakar kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan parti itu di PRN Sabah.
Keberhasilan PN menawan Karambunai bergantung kepada beberapa faktor utama pada baki kempen iaitu kebolehan jentera menggerakkan undi akar umbi, keupayaan calon menguasai naratif isu pembangunan tempatan dan nyatuan undi pengundi yang mahukan alternatif kepada kerajaan sedia ada
Jika momentum kempen berjaya dikekalkan sehingga hari pengundian, Karambunai berpotensi menjadi detik bersejarah buat Pas di Sabah. – UTUSAN










