Kemelut politik Perlis lonjak Pas ketuai PN

Kemelut politik Perlis lonjak Pas ketuai PN

SIDANG akhbar peletakan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis baru-baru ini. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMELUT politik di Perlis semakin reda. Menteri Besar baharu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Hamzah mula menjalankan tugas meskipun belum melantik barisan Exco yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

Pas pula sebelum ini telah memberi jaminan mengekalkan keharmonian di Perlis dan akan menyokong kerajaan pimpinan Abu Bakar meskipun tidak memegang sebarang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Kemelut politik yang berlaku di Perlis kalau dicerap secara keseluruhan daripada sudut strategi politik sebenarnya menguntungkan Pas. Pas hanya hilang kerusi Menteri Besar di Perlis tetapi menguasai PN di peringkat pusat yang dilihat jauh lebih besar dan penting dalam menentukan sebarang keputusan atau dasar.

Pas sebelum ini secara terbuka termasuk dalam muktamar parti itu baru-baru ini berulang kali mahu mengetuai PN dan mengetengahkan calon dari parti itu sebagai Perdana Menteri.

Apabila berlaku kemelut di Perlis ia seolah-olah menjadi momentum terbaik atau batu loncatan untuk Pas memulakan gerakan mengetuai PN sehingga menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu melepaskan jawatan selepas berdepan tekanan demi tekanan daripada pemimpin-pemimpin Pas.

Bukan sahaja Muhyiddin, rata-rata pemimpin kanan Bersatu yang lain turut mengikut jejak langkah sama termasuk di peringkat negeri.

Pas telah memutuskan akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi gabungan itu dan akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memilih Pengerusi baharu dalam kalangan pemimpin Pas.

Selesai isu PN. Pas akhirnya berjaya mengetuai gabungan tersebut yang dijangka dibentuk dalam keadaan lebih kukuh selepas ini.

Jika dilihat semula daripada perspektif berbeza, kemelut di Perlis tidaklah menjadi penyebab kepada kehancuran PN sebaliknya membantu melonjak Pas mengetuai PN dengan lebih cepat.

Berbalik semula kepada politik di Perlis, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas yang tergugur keahlian dan dikosongkan kerusi itu telah mengemukakan saman pemula kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mencabar kekosongan kerusi berkenaan.

Ketiga-tiga ADUN berkenaan juga telah mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian mereka dalam Pas kepada Majlis Syura Ulama, yang dibuat berlandaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan parti.

Jika semua berjalan lancar dan Pas memilih untuk lebih berlapang dada menerima semula tiga bekas ADUN dan mereka kembali sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing iaitu Guar Sanji, Bintong dan Chuping bakal menyaksikan Pas kembali kukuh dengan sembilan kerusi di dalam DUN Perlis.

Kedudukan PN khususnya membabitkan hubungan antara Pas dan Bersatu di Perlis pula dijangka bakal kembali kukuh sebagai persediaan mempertahankan negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Malah, hubungan Pas negeri dan pusat juga akan kembali harmoni. Di akhir nanti, kemelut politik di Perlis akan dilihat sebagai permulaan kepada pengukuhan semula PN selepas ini.

Lebih menarik, kesinambungan daripada kemelut politik di Perlis selain kemarahan UMNO kepada DAP bakal menjadi jambatan kepada penyatuan semula Pas dan UMNO melalui Muafakat

Nasional (MN) bagi menyatukan orang Melayu sekali gus bakal mengubah lanskap politik negara menjelang PRU16. Bertambah kuat jika turut sama disertai oleh Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN