PETALING JAYA: Belum bergelar graduan tetapi sudah terperangkap dalam beban hutang mencecah ribuan ringgit akibat ketagihan menggunakan perkhidmatan ‘beli sekarang bayar kemudian’ atau Buy Now Pay Later (BNPL).
Fenomena ini semakin membimbangkan apabila platform dalam talian yang kononnya memudahkan urusan pembelian dilihat menjerat golongan muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang belum mempunyai sumber pendapatan tetap tetapi ghairah mengejar gaya hidup mewah.
Malah, perkhidmatan BNPL ini juga dilihat tidak terkawal dengan para pengguna boleh mengakses perkhidmatan itu tanpa mengira harga barangan tersebut. Apatah lagi barangan yang dibeli serendah bawah RM10 sehingga ribuan ringgit, boleh dibayar kemudian secara ansuran bulanan.
Namun mahasiswa yang gagal membayar ansuran bulan pada waktu yang ditetapkan akan dikenakan penalti sebanyak RM10 hingga RM30. Ini mengakibatkan mereka terpaksa menanggung beban hutang sehingga hampir RM5,000.
Seorang mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Aisy Danish Khairulajman, 20, berkongsi kisah dirinya yang kini mempunyai tunggakan hutang BNPL hampir RM5,000 di platform Atome.
Katanya, dia memilih menggunakan perkhidmatan BNPL kerana tidak perlu membuat bayaran penuh sekali gus, sebaliknya boleh menjelaskan secara bulanan.
“Saya biasanya guna perkhidmatan itu untuk membeli barangan diperlukan. Pernah juga saya gunakannya untuk membeli minyak wangi dan telefon pintar berjenama.
“Kalau nak guna BNPL, kena betul-betul yakin boleh bayar setiap bulan. Saya pernah sekali terlewat bayar sehari dan dikenakan caj yang tinggi kerana kelewatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perkhidmatan BNPL dilihat tidak terkawal dengan para pengguna boleh menggunakan perkhidmatan itu tidak mengira harga barangan tersebut.
Seorang mahasiswi yang hanya ingin dikenali sebagai Atisya, 23 berkata, dia menggunakan BNPL untuk membeli barangan kosmetik seperti bulu mata palsu yang berharga cuma RM7.
Katanya, dia menggunakan perkhidmatan BNPL yang ditawarkan di platform Shopee, dikenali sebagai SPayLater, untuk membeli barangan yang kebanyakannya merupakan kehendak semata-mata.
“Saya membeli bulu mata berharga RM7 sebanyak tiga kotak dan menetapkan bayaran dalam tempoh enam bulan. Saya juga pernah membeli kuku palsu berharga RM23 dengan tetapan bayaran selama 12 bulan.
“Selain itu, saya menggunakan kemudahan BNPL untuk mendapatkan pakaian yang menjadi trend semasa, tudung yang dipromosikan oleh pempengaruh dan alat kosmetik yang mahal namun di luar kemampuan saya untuk beli secara penuh,” akuinya.
Berkongsi pengalaman sama, seorang lagi mahasiswi yang hanya ingin dikenali sebagai Ika, 23 berkata, dia terjebak dengan hutang BNPL disebabkan terpengaruh dengan rakan-rakan sekuliah.
Katanya, dia menggunakan BNPL untuk membeli barangan kehendak tanpa berasa bersalah kerana jumlah bayaran bulanan yang dikenakan agak kecil.
“Saya nampak promosi untuk sepasang kasut tumit tinggi yang harga asalnya RM179 namun dijual pada harga cuma RM50. Saya gunakan Atome dengan tetapan tiga bulan, jadi saya perlu bayar RM16.60 sebulan,” katanya.
Mengulas fenomena tidak sihat itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, tahap literasi kewangan dalam kalangan golongan muda di negara ini masih rendah hingga ada yang gagal membezakan antara keperluan dan kehendak.
“Fenomena BNPL dengan mudah mendedahkan golongan muda kepada sikap materialistik serta tabiat membeli secara impulsif tanpa menilai sama ada sesuatu barangan itu benar-benar keperluan atau sekadar kehendak.
“Perkhidmatan BNPL yang bersifat fleksibel menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda, kerana ia membolehkan mereka berbelanja tanpa perlu risau tentang bayaran segera seperti penggunaan kad kredit,” katanya.
Selain itu, Mohamad Fazli berkata, penggunaan media sosial yang berterusan menyebabkan golongan muda mudah terpengaruh dengan gaya hidup berlebihan, terutama apabila melihat pempengaruh berkongsi pembelian barangan mereka.
“Ia tanpa disedari mencetuskan tekanan sosial kepada pengguna BNPL untuk membeli barangan yang bukan keperluan, semata-mata kerana tidak mahu ketinggalan walaupun sebenarnya mereka tidak mampu,” katanya. – UTUSAN










