SHAH ALAM: Kejadian bunuh membabitkan dua mahasiswa sebuah universiti swasta di Petaling Jaya semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan sebagai kekasih di antara pasangan warga asing itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal polis mempercayai pasangan terbabit tinggal di rumah yang sama dan kejadian juga disyaki mempunyai kaitan dengan isu perbelanjaan harian.
“Pada peringkat awal, polis berpendapat motif kejadian adalah disebabkan oleh isu peribadi iaitu melibatkan hati dan perasaan, juga tentang isu perbelanjaan harian.
“Kerana suspek dan mangsa adalah kenalan yang mengenali antara satu sama lain serta menjalinkan hubungan. Namun, kita tidak boleh menutup ruang-ruang (siasatan) sehingga selesai,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuat beberapa rampasan termasuk senjata yang digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut.
“Pemerhatian awal juga mendapati terdapat beberapa siri kecederaan pada tubuh mangsa, namun polis menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti jenis kecederaan yang dialaminya.
“Selain itu, polis pada peringkat awal juga sudah mengambil keterangan-keterangan daripada jiran-jiran jika mereka menyaksikan atau mendengar sesuatu yang mencurigakan,” jelasnya.
Semalam, seorang wanita warga asing berusia 20-an yang juga penuntut di universiti swasta dilapor ditemukan maut dalam rumah dekat sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, kira-kira pukul 11.30 pagi, semalam.
Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki warga asing juga di lokasi sama.
Penuntut wanita warga asing berusia 20-an ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Bandar Sunway di sini, hari ini.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing di lokasi sama bagi membantu siasatan. – UTUSAN










