KPK rancang urus ladang getah terbiar secara kluster tingkat hasil pengeluaran

KPK rancang urus ladang getah terbiar secara kluster tingkat hasil pengeluaran

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM)sedang meneliti pelaksanaan Program Konsolidasi Getah Terbiar bagi mengurus kawasan tanaman getah matang dan tidak diusahakan secara berkelompok atau kluster.

Langkah itu bertujuan meningkatkan pengeluaran getah asli tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan produktiviti pekebun kecil, malah turut menumpukan kepada kawasan tanaman getah tua yang masih dalam proses torehan sebelum fasa penanaman semula dijalankan.

Menurutnya, bagi kawasan yang akan ditanam semula, pendekatan pengurusan secara berkelompok akan digunakan dengan kaedah penanaman pagar dan perimeter menggantikan kaedah konvensional sedia ada.

“Ruang di antara barisan pokok getah ini juga berpotensi diusahakan dengan tanaman makanan lain secara komersial. Kaedah ini dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil di samping menyumbang kepada bekalan makanan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Menurutnya pelaksanaan kaedah baharu itu turut membantu mengurangkan kos penyelenggaraan ladang, menyediakan peluang pekerjaan serta memperbaiki taraf hidup penduduk setempat.

Johari menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN–Merbok) mengenai langkah kementerian membangunkan tanah komoditi terbiar melalui kaedah tanaman bergilir bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan pergantungan kepada makanan import.

Bagaimanapun, katanya, KPK tidak mengguna pakai sistem tanaman bergilir, sebaliknya agensi di bawah kementerian terus melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan bagi memaksimumkan potensi tanah komoditi yang tidak digunakan.

Bagi komoditi sawit, katanya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat pelaksanaan Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) dengan peruntukan RM100 juta pada tahun 2024 dan RM50 juta pada tahun 2025, menerusi bantuan hibrid 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman.

Selain itu, katanya, produktiviti serta pendapatan pekebun kecil persendirian (PKP) turut dipertingkat melalui Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe).

“ITa memberi tumpuan kepada tanaman seperti pisang, nanas, tembikai, betik dan jagung, manakala ITe melibatkan ternakan ayam dan itik.

Pendekatan ini bukan sahaja menambah hasil serta pendapatan PKP, malah membantu memperkukuh bekalan makanan negara,” katanya.
Bagi sektor koko pula, Lembaga Koko Malaysia (LKM) melaksanakan beberapa tindakan seperti integrasi tanaman, pemulihan dan rejuvenasi ladang koko, selain pembangunan varieti baharu bagi memastikan tanah komoditi tidak terbiar.

“Melalui strategi menyeluruh ini, tanah komoditi yang sebelum ini tidak dimanfaatkan kini mampu memberi pulangan ekonomi secara mampan, selain membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan import,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN