JOHOR BAHRU: Kestabilan politik dan kepemimpinan berwibawa di Johor menjadi tarikan kepada pelabur sehingga negeri ini berjaya menarik pelaburan lebih AS$800 juta setakat ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pencapaian tersebut memberi bayangan potensi kepemimpinan sedia ada akan terus kukuh dan stabil
“Potensi (kepimpinan) ‘steady’ lah, kerana pelaburan yang datang dari negeri Johor ini antara paling tinggi daripada negeri-negeri lain.
“Johor ini, pengurusan negerinya memang teratur dan saya rasa kalau tengok daripada statistik, pelaburan yang masuk di Johor ini, dengan pusat data dan sebagainya, pelaburannya lebih AS$800 juta.
“Jadi, Johor sudah lakukan yang terbaik daripada pengurusan kepimpinan yang sekali gus berjaya menarik banyak pelabur-pelabur datang ke negeri Johor kerana mereka tengok Johor ini stabil, politik dia ‘solid’ dan polisinya sangat konsisten, jadi kita perlu bagi sokongan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke loji pengeluaran Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd, Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini, hari ini.
Pada 18 November lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, Johor mencatatkan RM91.1 bilion jumlah pelaburan bagi tempoh Januari hingga September 2025.
Jelas Onn Hafiz, pencapaian itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor serta hasil usaha bersama-sama dalam mewujudkan tadbir urus cekap, perkhidmatan lebih responsif dan budaya kerja yang semakin profesional.
“Johor menjadi pilihan bukan hanya kerana saiz ekonominya, tetapi kerana komitmen negeri untuk memperbaiki sistem, memperkemas proses serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pelabur,” katanya.-UTUSAN.










