KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan siasatan berhubung kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dibuka semula selepas mendapati berlaku kecuaian, pelanggaran serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam siasatan dijalankan sebelum ini.
Hakim Datuk Su Tiang Joo juga memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan semula siasatan berdasarkan dapatan Pasukan Petugas Khas (STF) serta melaporkan perkembangannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara menyingkirkan empat pegawai polis iaitu Khor Yi Shuen, Roslan Remeli, Azahar Muda dan Rahman Atan daripada pasukan penyiasatan sedia ada dan digantikan dengan pegawai lain.
Menurut Hakim Tiang Joo, pasukan baharu di bawah AGC tidak boleh melibatkan mana-mana pegawai yang sebelum ini terlibat dalam pembelaan kes berkenaan bagi mengelak sebarang konflik kepentingan.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan ke-21 bersama 20 defendan lain membayar ganti rugi berjumlah RM3.014 juta kepada isteri Amri, Nohayati Mohd. Ariffin.
Jumlah tersebut merangkumi ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52, ganti rugi am sebanyak RM2 juta serta ganti rugi teladan sebanyak RM1 juta.
Selain itu, defendan turut diarahkan membayar kos prosiding sebanyak RM250,000 serta faedah lima peratus setahun ke atas keseluruhan jumlah ganti rugi sehingga bayaran penuh diselesaikan.-UTUSAN










