PASIR SALAK: Pegawai tinggi pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) dan pengamal media dari negara itu yang menghadiri Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah (KGIDF) baru-baru ini, terpukau dengan keunikan daerah ini yang kaya dengan hasil durian serta pesona komuniti luar bandarnya.
Timbalan Presiden Persatuan Media Selatan Thailand merangkap Pengerusi Biro Hubungan Luar Thailand, Tuwaedaniya Meringin berkata, kunjungan dua hari ke festival tersebut memberi pengalaman luar biasa apabila mereka berpeluang menikmati pelbagai varieti durian dan meninjau dusun sekitar Kampung Gajah.
“Durian di sini memang luar biasa. Isinya tebal, lemak dan mempunyai rasa tersendiri yang berbeza dengan durian kampung di Selatan Thailand. Kami juga tertarik melihat suasana penduduk mengutip durian beramai-ramai dan menghantarnya ke pusat pengumpulan, suatu suasana meriah dan unik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rombongan berkenaan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian SBPAC, Kanokrat Phongthunnyawiriya bersama 10 pegawai kanan serta 10 pengamal media dari Thailand.
Selain menikmati durian, peserta turut melawat Kompleks Desa Warisan Igrow di Pulau Tiga yang menjadi lokasi utama festival ini.
Mereka turut dibawa melawat Kampung Pulau Misa, makam Sultan Perak pertama di Telok Bakong serta menyertai bengkel dodol tradisional dan pusat kraftangan labu.
Tuwaedaniya berkata, pengalaman bermalam di dusun durian Warisan Igrow memberi peluang kepada rombongan merasai sendiri kehidupan masyarakat kampung serta keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.-UTUSAN.










