JTKSM keluar RM2.8 juta kompaun, Sabah RM87 juta

JTKSM keluar RM2.8 juta kompaun, Sabah RM87 juta

Kompaun JTKSM
ABDUL Rahman Mohamad menemui salah seorang pekerja dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dekat sebuah gudang logistik syarikat kurier di Pulau Indah, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kompaun terkumpul sebanyak 501 dicatatkan Jabatan Tenaga Kerja Semanjung Malaysia (JTKSM) sejak Januari lalu berjumlah RM2.87 juta melibatkan 490 kertas siasatan terhadap majikan-majikan atas pelbagai kesalahan.

Kesemua 490 kertas siasatan tersebut dibuka menerusi 488 operasi penguatkuasaan perburuhan dilakukan di seluruh negara dalam pematuhan terhadap akta-akta dikuatkuasakan jabatan itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 353 kes sudah pun didakwa di mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM138,000.

Menurutnya, malah, JTK Sabah mencatatkan jumlah kompaun terkumpul yang tertinggi iaitu RM87 juta melibatkan tindakan saman antara RM50,000 hingga RM100,000 terhadap majikan-majikan.

“Jadi kita dapat kompaun-kompaun tersebut dan dikembalikan kepada pekerja yang membuat laporan atau dianiaya oleh majikan mereka. Kita tidak mahu penindasan berlaku dalam negara kita sama ada pekerja asing atau tempatan,” katanya ketika ditemui dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu, hari ini.

Dalam operasi tersebut, sebuah gudang logistik syarikat kurier terkenal diperiksa oleh JTKSM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Gudang yang diperiksa tersebut melibatkan 1,100 pekerja sambilan dan 340 pekerja sepenuh masa di bawah kontrak vendor-vendor (ejen) yang dipercayai melakukan penindasan terhadap pekerja melibatkan pembayaran upah, tempoh masa bekerja dan kebajikan mereka.

“Pekerja dikesan tiada caruman KWSP dan Perkeso walaupun sebahagian mereka sudah pun bekerja lebih setahun. Justeru, mereka (ejen) diberi tempoh masa, saya minta pegawai selesaikan perkara tersebut antara satu hingga dua minggu.

“Mana-mana pekerja yang ditindas perlu melaporkannya kepada JTKSM. Yang melaporkan akan dilindungi. Sekiranya dia dibuang kita akan ambil tindakan, buka kes dan bawa ke mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN